Pemimpin parti zahir ucapan tahniah kepada Muhyiddin

0
157

KUALA LUMPUR – Pemimpin utama parti gabungan Muafakat Nasional hari ini mengucapkan tahniah kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan pengumuman itu sebagai pencapaian terbaik hasil daripada Muafakat Nasional yang diadakan dengan UMNO.

“Kami memberi akur janji akan bekerjasama dengan YAB Perdana Menteri dan akan deliver (beri) sumbangan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kami akan dapatkan pandangan daripada rakyat tentang apa yang mereka mahu kerajaan laksanakan selepas dua tahun di bawah pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di kediaman Muhyiddin hari ini.

Takiyuddin juga berharap keputusan yang diumumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dapat diterima oleh Pakatan Harapan dengan baik dan terbuka.

Mohamed Azmin Ali

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui hanya memberikan senyuman dan mengucapkan kalimah Alhamdulillah sebanyak dua kali sebelum berlalu pergi.

Hamzah Zainuddin

Sementara itu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menganggap keputusan itu sebagai ketentuan Allah di atas segala apa yang berlaku sebelum ini.

Katanya, perpecahan dalam kerajaan PH berlaku telah membuktikan percanggahan pemimpin dalam PH maka kepentingan negara harus jadi keutamaan.

“Saya melihat keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk kepentingan negara bukannya mana-mana pemimpin.

“Kita harus bersyukur kerana apa yang berlaku ini sudah mencapai….bukan lagi garisan penamat tapi bermula untuk menentukan masa depan yang lebih baik. Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Bekas Perdana Menteri ke enam, Datuk Seri Najib Razak juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selamat berkhidmat,” kata bekas Perdana Menteri itu ringkas menerusi hantaran di Facebooknya.

Muhyiddin, 73, pernah menjadi timbalan kepada Najib sebelum dipecat pada tahun 2016 dalam pertelingkahan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad.

Ibrahim Ali

Presiden Parti Putra Malaysia Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berharap dan berdoa semoga semua pihak menerima dan menghormati apa yang telah diputuskan oleh baginda.

“Kepada pihak yang tidak berpuas hati berdasarkan mandat rakyat PRU 14 terpaksa menerima keputusan ini dan bersabar kerana 36 bulan lagi atau tiga tahun lagi akan berlangsung PRU 15.

“Manusia merancang dan Allah menentukannya. Bagi orang perjuangan, teruskanlah merancang dan berusaha kerana perjuangan itu tiada noktahnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong petang ini berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam satu kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok.

– MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here