
BEBERAPA hari ini, suasana di Pagar 2 Istana Negara begitu meriah, umpama pesta.
Manakan tidak, dengan berkampungnya wakil dari pelbagai agensi media, sudah tentu bermacam ragam dapat dilihat.
Cakcibor amat berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keprihatinan dan kesudian baginda untuk ‘membelanja’ makan tengahari kami.

Lebih menarik, apabila ada pegawai baginda yang sudi berkongsi cerita bahawa Tuanku menggunakan wang daripada poket baginda sendiri bagi tujuan tersebut.
Ampun Tuanku, patik amat berterima kasih atas anugerah daripada Tuanku.
Cakcibor juga amat berterima kasih kepada syarikat-syarikat swasta dan individu yang hadir ke lokasi Cakcibor dan kawan-kawan bertugas, dan mengedarkan makanan dan barangan lain bagi kegunaan kami dalam tugasan.

Belum pernah lagi Cakcibor hadir ke mana-mana tugasan di mana kami berasa amat dihargai. Sekali lagi, terima kasih semua.
Tak lupa, para petugas keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, yang sentiasa tegas namun adil dalam melakukan tugas.
Terima kasih Cakcibor ucapkan kerana menjaga Cakcibor dan kawan-kawan media sekalian, dan sekali sekala sudi berkongsi lawak jenaka dan gurau senda yang menceriakan suasana.
Dan juga kepada rakan-rakan media sekalian, Cakcibor amat berbangga melihat kesungguhan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam mempersembahkan hanya yang terbaik buat rakyat Malaysia di luar sana.
Bukan itu sahaja, pabila hari mula menganjak ke malam, ada yang masih sanggup tinggal di lokasi tersebut untuk sama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan.
Tiada jurang antara wartawan, jurugambar, juruvideo, yang ada hanya kawan-kawan media sama-sama berganding bahu membersihkan kawasan kami ‘bermain’.
Walaupun isu politik yang membelenggu negara ini masih belum nampak jalan penyelesaiannya, apa yang terjadi di luar pagar istana ini merupakan satu manifestasi rakyat Malaysia di luar sana.
Antara syarikat swasta dan individu, anggota keselamatan dan para media, ia umpama anggota masyarakat yang majmuk, yang masing-masing punya impian dan harapan yang berlainan.
Kita mungkin berbeza agama, warna kulit dan bangsa, namun kesamaan yang kita punya, iaitu ibunda tercinta kita, perlu dijaga sebaiknya.
Dan kita semua dipayungi oleh Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang amat kasih dan sayangkan rakyat Baginda.
Nampak atau tidak, itu soal interpretasi masing-masing.
Sendiri mau ingat lah.