
CYBERJAYA – Penularan ‘berita palsu’ termasuk penyebaran maklumat dan nasihat yang tidak tepat dalam media sosial, boleh menyebabkan penyebaran sesuatu wabak menjadi lebih serius.
Menurut Reuters, satu kajian yang dilakukan oleh Universiti East Anglia (UEA) di UK mengenai kesan penularan maklumat yang tidak benar terhadap penyebaran wabak, apa sahaja usaha untuk menghalang berita tersebut dari tersebar boleh menyelamatkan nyawa.
“Mengambil contoh wabak Covid-19, sudah terlalu banyak spekulasi, maklumat salah dan berita palsu disebarkan dalam internet, dari asal usul wabak, apa sebabnya dan bagaimana ia tersebar,” kata profesor perubatan UEA, Paul Hunter.
“(Penyebaran) Maklumat yang salah bermaksud nasihat yang salah akan tersebar dengan cepat, dan ia mampu mengubah tabiat manusia untuk mengambil risiko yang lebih besar,” katanya lagi.
Bagi kajian ini, kumpulan Hunter memfokuskan kajian mereka terhadap tiga kes contoh iaitu selsema, demam cacar dan norovirus.
“Namun, dapatan kami boleh juga digunakan bagi menangani isu berkaitan penularan wabak Covid-19,” kata Hunter.
“Berita palsu sengaja diadakan tanpa rasa bersalah, dan biasanya bersandarkan teori konspirasi,” katanya lagi.