Perikatan Nasional dakwa miliki blok terbesar

0
273

KUALA LUMPUR- Gabungan baharu dikenali ‘Perikatan Nasional’ mendakwa mereka memiliki sokongan majoriti untuk memilih calon Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Barisan Nasional (BN), Muafakat Nasional (MN) serta beberapa parti lain adalah antara blok terbesar masa ini.

“Namun pendekatan kita adalah sederhana dan terbuka. Kita bersedia menyokong blok yang lebih kecil demi penyatuan ummah.

“Malangnya usaha ini terus menerus terhalang oleh politik ‘marchiavelli’- matlamat menghalalkan cara,” katanya dalam laman Twitter miliknya hari ini.

Pemimpin enam parti pagi tadi mempersembahkan pembentukan gabungan baru dikenali ‘Perikatan Nasional’ kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Gabungan itu diketuai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dinamakan calon Perdana Menteri dilihat memasuki Istana Negara kira-kira pukul 10 pagi.

Bersama dengan rombongan Muhyiddin tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak, Datuk Fadillah Yusof; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup serta Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here