
CYBERJAYA – Seorang lagi pesakit positif coronavirus berasal dari China yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dibenarkan pulang hari ini selepas pulih sepenuhnya.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, lelaki berumur 63 tahun itu merupakan kes ke-10 positif coronavirus di Malaysia dan dirawat di wad isolasi HKL.
“Pesakit ini telah diberikan rawatan bagi gejala dihadapinya dengan pengawasan berterusan dan tiada keperluan untuk rawatan ubat antiviral.
“Terkini, dua ujian ulangan bagi coronavirus yang dijalankan berturut-turut ke atasnya pada kelmarin dan semalam adalah negatif. Pesakit seterusnya akan dibenarkan pulang pada petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dua pesakit coronavirus yang masing-masing dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan Hospital Permai, Johor dibenarkan pulang pada 4 Februari dan semalam.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan HKL yang telah memberi rawatan terbaik kepada pesakit berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut merakam penghargaan kepada Pejabat Kesihatan serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terlibat dalam siasatan, pengesanan kontak dan langkah pencegahan serta kawalan bagi mencegah penularan.-MT