PH masih belum puas hati, dakwa ada bukti sokongan

0
248
Datuk Seri Salahuddin Ayub ditemui pemberita di Yayasan al-Bukhary Kuala Lumpur hari ini

CYBERJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini bagi membincangkan langkah seterusnya berikutan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pihaknya yakin masih mendapat majoriti penuh ahli Dewan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan.

“Kita yakin dan percaya mampu tunjukan bukti dalam masa terdekat ini, kita ada nombor.

“PH akan bermesyuarat nanti dan itu yang akan kita lakukan, kalau dapat izin kita hendak mengadap Agong untuk tunjuk bukti yang mencukupi dan sampai sekarang pun kita sedang kumpul bukjti dan akuan bersumpah (SD),”katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan sebentar tadi oleh Agong selepas baginda berpuas hati bahawa Presiden Bersatu itu memperoleh jumlah sokongan ahli Dewan Rakyat yang mencukupi.

Pelantikan Muhyiddin itu sekali gus menutup peluang Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Perdana Menteri semula selepas dicalonkan untuk menjawat jawatan tersebut oleh PH pagi tadi.

Dalam pada itu, ditanya jumlah sokongan ahli Parlimen yang telah diperoleh PH, Salahuddin berkata, setakat pukul 4 petang tadi, PH telah mendapat antara 111 dan 112 sokongan.

Sementara itu, katanya, satu sidang akhbar juga dijangka dibuat oleh Dr. Mahathir selepas mesyuarat itu berlangsung.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here