Pintasan Saloma pikat hati warga kota, pelancong asing

0
557

KUALA LUMPUR – Pintasan Saloma kini sudah siap sepenuhnya dan telah dibuka untuk laluan orang ramai dari Kampung Baru ke KLCC dengan reka bentuk unik yang mengambil ilham tradisi sirih junjung, iaitu seni gubahan adat Melayu.

Tinjauan Malakat Tribune mendapati mercu tanda baharu di ibu kota itu turut dihiasi lampu LED yang akan bertukar aneka warna setiap masa dan menjadi tarikan baharu masyarakat setempat serta pelancong luar negara.

Pintasan sepanjang 370 meter itu merupakan projek Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dan dibina berdekatan Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) ke KLCC.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM31 juta, Pintasan Saloma dapat memendekkan masa perjalanan orang ramai dari Kampung Baru ke KLCC atau sebaliknya yang sebelum ini selama 30 minit kepada tujuh hingga 10 minit sahaja.

Selain dapat menikmati perjalanan lebih singkat dan selamat, pihak PKB juga turut menyediakan laluan khas berbasikal untuk penunggang menolak basikal melintasi jejantas dan dua ruang khas bagi tujuan bergambar.

Menurut seorang pengunjung, Nordin Saad, 59, kemudahan baharu yang disediakan kerajaan itu memberi manfaat kepada pengguna mempunyai urusan di kedua-dua lokasi iaitu Kampung Baru dan KLCC.

“Macam saya sebagai pekerja Prasarana, saya selalu berulang alik dari Kampung Baru ke seberang berdekatan KLCC untuk pemeriksaam stesen, sebelum ini perlu lalu jalan jauh tetapi kini tidak lagi kerana lebih dekat.

“Pintasan Saloma ini juga menarik, dihasilkan dengan idea kreatif sekali gus menjadi daya tarikan baharu. Pada waktu malam lampu LED bertukar warna, saya percaya pasti akan ramai datang ke sini untuk bergambar,” katanya.

Selain itu, Mohd. Izlan Omar, 25 berkata, dia datang ke Pintasan Saloma bersama rakan-rakan selepas melihat beberapa gambar kecantikan laluan itu pada waktu malam yang tular sejak beberapa hari lalu dalam media sosial.

“Sangat cantik penuh warna-warni lampu LED yang dipancarkan. Tempat ini pasti akan menjadi tarikan baharu di ibu kota. Ia juga dapat memendekkan masa perjalanan dari Kampung Baru ke KLCC,” katanya.

Sementara itu, Siti Salwa Shaari, 25, berkata, dia begitu teruja melihat tarikan baharu itu dan dalam masa sama berasa selamat untuk datang kerana turut dilengkapi denga kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, Intan Aqrisha Haira Aspari, 19, berkata, dia dan rakan, Nurul Izzah Mohd. Salim, 19,sanggup singgah di Pintasan Saloma semata-mata untuk bergambar dan melihat sendiri kecantikan laluan berkenaan.

“Gambar yang diambil akan dimuat naik dalam laman sosial saya. Sebelum ini, hanya tengok dalam media sosial orang lain. Hari ini saya sendiri berkesempatan datang,” kata pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here