PPSMI: Satu langkah ke belakang

0
160

CYBERJAYA – Cadangan kerajaan untuk mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam sistem pendidikan negara dilihat sebagai satu langkah ke belakang dan boleh menyebabkan pelajar terkesan sehingga menjejaskan tumpuan mereka.

Menurut Pengasas Brainy Bunch International Montessori, Mohd. Fadzil Hashim, cadangan tersebut yang dikemukakan oleh Perdana Menteri yang juga Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin bukan kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan pelajar sekolah selagi isu asas tidak ditangani.

Coach Fadzil

Beliau berkata, secara asasnya majoriti pelajar di sekolah dapat memahami BI dengan baik cuma mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa tersebut disebabkan keadaan persekitaran.

“Majoriti pelajar kita adalah mereka yang tidak menguasai BI sebagai bahasa pertuturan untuk komunikasi. Jika niat nak perkasakan bahasa ini, galakkan mereka berkomunikasi dalam BI, tambah masa belajar, tambah penggunaan dalam sekolah, adakan hari bahasa Inggeris di sekolah untuk galakkan penggunaan bahasa itu secara harian. Itu lebih logikal.

“Tapi kalau nak ajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, ia akan terus buat para pelajar lemah dalam subjek-subjek itu. Tolonglah, dulu Kementerian Pendidikan pernah buat PPSMI. Selepas itu, kajian dah dibuat dan ada penemuan yang ia tidak efektif. Kajian dah ada, Mengapa nak buat lagi,” katanya.

Dr. Mahathir dalam satu mesyuarat tertutup bersama pegawai Kementerian Pendidikan menyebut bahawa PPSMI yang dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman beberapa pihak termasuk parti politik, ibu bapa, dan cendekiawan akan dikembalikan kerana subjek sains dan matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti sejarah dan geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil turut meminta supaya Dr. Mahathir dan penasihat di sekelilingnya untuk menasihatkan beliau menarik balik hasrat tersebut bagi kebaikan semua pihak.

Tegasnya, sekiranya terdapat sekolah yang mahu melaksanakan dasar tersebut ia dibolehkan dengan syarat majoriti pelajarnya menguasai BI dengan baik.

“Tun tolonglah faham, Tun takkan berada di kedudukan ini selama-lamanya, macam dulu bila Tun tingalkan kerajaan orang yang ambil alih akan ubah. Dan Tun pun tahu polisi ini akan dimansuhkan bila Tun sudah tiada.

“Dan saya rasa the moment you step down sahaja benda yang akan berlaku ialah PPSMI akan diubah semula, kalau tak berlaku segera pun paling kurang selepas Tun tiada lagi di dunia, perubahan ini akan berlaku. Makna kata janganlah aniaya sekolah kita, kita sekarang ini sudah jauh ketinggalan kerana terlalu kerap pertukaran polisi pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu, Coach Fadzil juga menyeru semua pihak yang membantah dasar tersebut supaya bersama-sama menyuarakan bantahan tersebut supaya masa depan pendidikan negara tidak terus diperjudikan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here