PRU 15: Lepas itu apa pula?

0
266

KEMELUT politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) nampaknya belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Jalan ke arah itu juga seperti semakin rumit.

Hanya tiga kemungkinan yang dapat diramal rakyat pada ketika ini iaitu pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baharu berdasarkan majoriti, mengekalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad atau pilihan raya semula.

Sejak semalam juga, media-media pro PH sudah mula menayangkan ‘kebimbangan’ melalui suara-suara individu dan organisasi yang menolak pilihan ketiga iaitu pembubaran Dewan Rakyat dan pilihan raya semula jika tiada majoriti diputuskan.

Ia susulan tiada kata putus dicapai daripada sesi temu duga Yang di-Pertuan Agong dengan ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat untuk menentukan siapa yang layak mengetuai kerajaan.

Dr. Mahathir semalam mengumumkan sidang Dewan Rakyat pada Isnin akan menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri.

Kegusaran pakatan PH dalam situasi ini mudah dibaca rakyat kerana pilihan raya mengejut dilihat akan memberi kelebihan kepada tim Muafakat Nasional untuk berkuasa.

Menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azmil Tayeb, jika diadakan pilihan raya semula, peratusan sokongan orang Melayu untuk beralih kepada UMNO dan Pas sangat tinggi.

Perkara itu berdasarkan keadaan emosi semasa rakyat yang nyata kecewa dan sudah penat dengan situasi politik negara sejak kebelakangan ini.

Pengasas Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel dalam kenyataannya hari ini menggunakan kebimbangan ahli-ahli politik yang korup akan kembali berkuasa dan sebahagiannya akan terlepas daripada hukuman sekiranya PH tumbang.

Kebimbangan beliau itu seperti juga kegusaran para pemimpin PH jelas membuktikan ketakutan untuk berdepan dengan realiti. Sebaliknya mereka harus mengambil kira dan memikirkan kestabilan kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti.

Bahkan jika Anwar berjaya memperoleh majoriti 112 daripada ahli Parlimen sekali pun, kerajaan yang dibentuk selepas kemelut itu belum tentu menjadi kerajaan yang solid dan stabil.

Yang paling jelas adalah ia bakal menjadi ‘tayangan semula’ pentadbiran kurang efisien seperti yang berlaku selepas PRU 14 lalu.

Dan dalam menempuhi pentadbiran yang serba goyah itu, apa pula akan terjadi apabila ada ahli parlimen yang melompat parti atau menarik semula sokongan kepada Anwar? Sampai bila rakyat harus berdepan dengan keadaan ini?

Sedangkan di luar sana, rakyat sudah muak dan mengharapkan pemimpin-pemimpin politik menjadi lebih matang dan berprinsip. Bukan sekadar berjuang untuk kepentingan diri.

Dalam tinjauan yang dilakukan Malakat Tribune semalam, lebih 90 peratus menyatakan hasrat untuk melihat pilihan raya semula diadakan supaya keputusannya tidak lagi disesali.

Bahkan sekiranya semua pemimpin parti bersikap ‘gentleman’, pilihan raya semula adalah jalan terbaik untuk mengiktiraf dan mendahului keputusan rakyat berbanding golongan elit politik.

Apa pun, jika tidak sekarang, pilihan raya umum tetap akan berlangsung dan rakyat akan sekali lagi membuat pilihan.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan Majlis Raja-raja bukanlah satu kemestian dan baginda berhak memutuskan untuk membubarkan parlimen dengan atau tanpa nasihat Perdana Menteri selepas Tun M meletak jawatan.

Dengan lain perkataan, perletakan jawatan Perdana Menteri membawa maksud perletakan jawatan seluruh anggota Kabinet. Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Walau pun kita ada Perdana Menteri interim, peranan dan kuasa Perdana Menteri interim tidak sama. Dalam konteks pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sekarang, kuasanya hanya menguruskan pentadbiran negara. Dalam hal ini skop kuasa PM interim hampir serupa dangan skop kuasa kerajaan sementara (caretaker government) yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here