
CYBERJAYA – Sebuah Majlis Konsolidasi Negara dicadangkan diwujudkan bagi menyelesaikan isu pertelingkahan politik yang sedang berlaku dalam negara sekarang.
Menurut Pensyarah Politik Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Nadzri Mohamed Noor, meskipun ia dilihat sebagai langkah terakhir, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan kesan lebih buruk berlaku kepada negara, ekonomi dan perpaduan antara rakyat.
“Kalau buat semula pilihan raya umum (PRU) pun lebih banyak perpecahan akan berlaku, malah saya yakin parti yang bakal menang pun jumlahnya lebih kurang sama seperti yang berlaku sekarang.
“Bagi saya ini merupakan langkah terakhir dan berharap kita dapat mengelakkan daripada berlakunya darurat sehingga Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan dahulu. Sekarang ini sudah memasuki tahun 2020 sepatutnya tindakan lebih baik dapat dilakukan,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Semalam, seluruh negara dikejutkan dengan perletakkan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu sehingga menyebabkan semua jawatan menteri Kabinet juga terbubar secara automatik.
Pada masa sama, parti Bersatu yang sebelum ini salah satu komponen Pakatan Harapan (PH) turut membuat keputusan mengejutkan dengan keluar daripada pakatan politik tersebut sehingga menyebabkan PH hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, bagi mewujudkan kestabilan dalam negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau kembali sebagai Perdana Menteri interim sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut lunas Perlembagaan.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai situasi politik semasa di dewan undangan negeri (DUN), katanya, tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Perak berada dalam keadaan tidak stabil berikutan tindakan yang diambil oleh Bersatu.
Namun begitu, katanya, situasi berbeza berlaku di Selangor kerana parti yang membentuk kerajaan mempunyai majoriti kuat dan sukar untuk digugat.
“Meskipun terdapat pihak yang berpandangan Selangor merupakan kem pasukan Azmin tetapi tiada sebarang kenyataan untuk menyokong mana-mana pihak dikeluarkan oleh menteri besarnya atau penyokong Azmin.
“Jadi untuk mewujudkan kestabilan maka kedua-dua pasukan yang bertelagah dalam PKR ini boleh berkompromi demi rakyat dan ekonomi negara,” katanya.-MT