Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Al Azhar Malaysia ditubuhkan

0
426

CYBERJAYA – Rabitah Al Azhar Malaysia telah mendapat kelulusan dan juga bekalan tenaga pengajar dari Universiti Al Azhar di Mesir untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Al Azhar di Malaysia.

Presidennya, Datuk Fakhruddin Abdul Mukti berkata, Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Al Azhar itu akan di buka dalam masa terdekat membabitkan dua cawangan iaitu di Cyberjaya dan Johor Bahru, Johor.

Beliau berkata, untuk cawangan di Johor Bahru, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Johor manakala, bagi cawangan Cyberjaya akan melibatkan kerjasama dengan Raudhah College.

“Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Al Azhar di Johor Bahru akan mempunyai 10 orang guru Bahasa Arab terlatih dan mampu menawarkan peluang pembelajaran untuk sebanyak 300 orang pelajar.

“Manakala, Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Al Azhar di Cyberjaya pula akan dibekalkan dengan 50 orang guru Bahasa Arab terlatih dan mampu menawarkan peluang kepada 1,500 pelajar.

“Surat tawaran akan dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan kepada pelajar yang telah memohon untuk ke Universiti Al Azhar dan lulus syarat kemasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fakhruddin berkata, untuk kemasukan ‘Tahdid Mustawa’ atau Penilaian Kemahiran Bahasa Arab akan diadakan di Pusat Bahasa Arab Al Azhar Johor Bahru dan Cyberjaya pada awal April nanti.

Katanya, tujuan utama inisiatif itu ialah untuk memperkasakan kemahiran bahasa Arab bagi pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Universiti Al Azhar.

“Pembelajaran akan melibatkan Modul Kemahiran Intensif Bahasa Arab Tujuh Peringkat dan para pelajar dijangka menamatkan kursus dalam tempoh empat hingga enam bulan.

“Selain menyediakan program pra-universiti, pusat bahasa Arab ini juga bakal menawarkan kursus kemahiran bahasa Arab untuk pendidik, diplomat, professional dan usahawan,” katanya.

Sementara itu katanya, antara manfaat pusat kecemerlangan itu ialah pelajar Malaysia yang lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dapat melanjutkan pengajian pra-universiti Al Azhar dengan mengikuti kursus kemahiran bahasa Arab di Pusat Kecemerlangan Bahasa Arab Al Azhar Malaysia tanpa perlu ke Kaherah, Mesir.

“Pelajar yang lulus pengajian bahasa Arab di sini akan secara automatik dapat meneruskan pengajian peringkat Ijazah di Universiti Al Azhar Mesir dalam jurusan pilihan masing-masing.

“Pusat Bahasa Arab Al Azhar Malaysia juga akan membantu urusan Anugerah Biasiswa dan bantuan kewangan Zakat untuk pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ijazah pertama di Al Azhar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fakhruddin memaklumkan setiap tahun dianggarkan sebanyak 5,000 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Timur Tengah seperti Mesir, Jordan dan Magribi.

“Penguasaan dan kemahiran bahas Arab adalah pra-syarat penting untuk mendalami ilmu dan berjaya di peringkat pengajian tinggi di Timur Tengah, jadi kami berharap inisiatif pihak kami dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here