Pusat latihan bola, kelab memanah berkuda di Raudhah City

0
469

CYBERJAYA – Pembangunan Raudhah City berkonsepkan bandar Islam pertama di negara ini bakal dilengkapi pusat rekreasi berkuda dan padang bola sepak bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pembinaan kemudahan ekuine dan pusat latihan bola sepak itu merupakan sebahagian daripada rancangan yang dicapai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Kumpulan Brainy Bunch dengan Tigre Football, The Sekolah Bola dan Al Faris Knights, semalam.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif BBFA, Nizam Ismail (empat dari kiri), Pengarah Urusan Tigre Football, Norikhzan A. Yahaya (dua dari kanan), dan Pengasas The Sekolah Bola, Yazid Yahaya (tiga dari kiri) pada Majlis MOU Kolaborasi Strategik antara BBFA dengan Tigre Football dan The Sekolah Bola di Kompleks Brainy Bunch.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Bola Sepak Brainy Bunch (BBFA), Mohd. Nizam Ismail berkata, pusat pembangunan bola sepak yang akan dibina berhampiran dengan ibu pejabat Brainy Bunch di Raudhah City itu akan menempatkan dua padang bola bertaraf FIFA.

“Ia bukan hanya cadangan tetapi padang bola pertama yang akan dibina itu dijangka siap dalam masa dua hingga tiga bulan.

“Ia akan menjadi pusat latihan bola sepak yang menyediakan latihan dan menawarkan penyewaan padang untuk latihan dan perlawanan kelab-kelab bola sepak di luar sana,” katanya.

Jalinan kerjasama perniagaan Brainy Bunch

Pada majlis sama, Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim turut menandatangani MoU bersama AlHijrah Media Corporation dalam kerjasama strategik bagi menyediakan platform promosi untuk usahawan Malakat Mall yang akan dibuka 1 Mac ini.

Mohd. Nizam berkata, pembukaan pusat pembangunan bola sepak itu akan dijayakan melalui kerjasama BBFA dengan Tigre Football dan The Sekolah Bola.

“Melalui usaha sama ini The Sekolah Bola akan dipertanggungjawab menyediakan latihan teknikal manakala Tigre Football dilantik sebagai operator yang akan menguruskan padang dan penganjuran acara.

“Kerjasama ini juga dicapai selepas mengambil kira kemampuan dan kemahiran kedua-dua pihak yang berpengalaman luas dalam pengurusan dan latihan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan utama BBFA akan memfokuskan usaha memantapkan latihan asas bagi pelajar berusia lima hingga 12 tahun.

Sementara itu, Pengasas Panah Lagenda Enterprise (Al Faris Knights), Mohd. Nasrul Kamarulzaman berkata, pihaknya bercadang mengembangkan sukan memanah kepada satu lagi disiplin iaitu memanah berkuda.

Katanya, pembangunan sukan memanah yang kini bertapak di MAEPS Serdang akan diperluaskan ke Brainy Bunch untuk memiliki sebuah pusat ekuine yang menempatkan kuda-kuda untuk sukan itu.

“Mengikut rancangannya pada tahun depan kita akan membawa masuk kuda-kuda yang diperlukan untuk kegunaan itu.

“Dengan kapasiti yang ada pada Kumpulan Brainy Bunch, rancangan masa panjang kami termasuk memperluaskan jenama ini ke peringkat antarabangsa seperti Indonesia dan negara-negara Arab,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here