[VIDEO] Rakyat mahu pilihan raya semula

0
204
Dr. Mahathir Mohamad

SELEPAS apa yang berlaku, semalam kita dikejutkan pula dengan pengunduran UMNO dan Pas dalam mencapai sepakat penubuhan kerajaan baharu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad. Harapan yang boleh dikatakan ‘berkubur’ buat masa ini.

Ia disusuli pula dengan cadangan pembubaran Parlimen sebagai jalan terbaik dan terakhir yang mungkin mampu menyelamatkan pembentukkan kerajaan Muafakat Nasional. Tapi ia juga tidak nampak seperti akan berlaku. 

Pemimpin UMNO kemudian secara terbuka menyalahkan Tun Dr. Mahathir sebagai tidak berkompromi dalam rundingan mereka.

Politik Malaysia : Apa kata rakyat

UMNO dan Pas dilihat teguh dengan syarat-syarat yang diperjuangkan dan tidak tenggelam dalam tawaran politik sebaliknya kekal pada janji bersama Pas demi kepentingan nasional. Mungkin jika digadai prinsip tersebut dalam ‘perjudiaan’ kali ini, tiada lagi peluang untuk parti tertua itu kembali berkuasa. 

Bagi penyokong UMNO dan Pas, pengumuman oleh setiausaha agong dari kedua-dua parti iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan di Menara Dato’ Onn, PWTC Kuala Lumpur semalam sudah tentu keputusan yang melegakan. Walaupun tidak berjaya tetapi tetap berprinsip. 

Ia mungkin juga dilihat bermaruah, mengambil kira persengketaan kedua-dua parti berkenaan yang mahu disekutukan bersama DAP dalam kerjasama kerajaan campuran seperti yang dirancang  Tun Dr. Mahathir.

Hari ini pula kita diumumkan oleh ahli-ahli PH dari Keadilan, DAP dan Amanah yang mencapai kata sepakat mencalonkan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir yang dilihat tidak mahu bekerjasama selepas tidak menghadiri jemputan Majlis Presiden PH semalam.

Namun sehingga saat ini, selepas tiga hari negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri, masih tiada di antara kedua-dua pihak (Muafakat Nasional dan PH) berjaya mencapai persetujuan dengan Tun Dr. Mahathir.

Pengumuman Perdana Menteri pada petang tadi juga masih tidak memberi apa-apa gambaran kepada sebarang penyelesaian kepada kemelut politik pasca kejatuhan Pakatan Harapan yang memerintah tidak sampai satu penggal.

Hatta selepas 221 Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, rakyat negara ini masih menantikan penentuan yang akan mencorak masa depan negara.

Di luar istana, kehendak rakyat kini tertumpu kepada aspirasi demokrasi iaitu pembubaran Parlimen dan supaya diadakan semula pilihan raya untuk memilih pemimpin dan membentuk kerajaan baharu. 

Dan apa yang disebut oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai penentuan oleh rakyat dan bukannya oleh elit politik jelas terbukti di jalanan dan media sosial.

Hari ini di ibu kota, penulis mendapatkan pandangan orang ramai mengenai situasi politik yang berlaku sekarang. Majoritinya memilih supaya diadakan semula pilihan raya, manakala sebahagian lagi tidak menunjukkan mereka peka pada perkembangan politik yang berlaku ketika ini. 

“Sudah muak, mahukan sesuatu yang lebih baik dan tegakkan semula keadilan,’’ kata Mustafa Rejab yang bekerja sebagai pemandu teksi. 

Namun dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa yang ditemu bual,  rata-rata mengharapkan kestabilan politik negara dapat kembali ditegakkan dan keamanan kaum dipelihara tidak kira apa sahaja parti yang memerintah. 

“Kita tidak mahu politik menjadi punca masyarakat di negara ini berpecah kerana kaum dan agama. Biarlah Malaysia memilih seorang pemimpin yang boleh mentadbir negara dengan adil, bijaksana dan saksama,’’ ujar pasangan suami isteri pemastautin dari Sabah.

Ditanya mengenai calon terbaik yang dapat menggantikan Tun Dr. Mahathir pada ketika ini, ramai yang tercari-cari jawapannya, rata-rata masih ramai yang dambakan kebijaksanaan beliau dalam pentadbiran negara. 

Sebahagian  yang lain memilih untuk melihat semula bekas Perdana Menteri ke enam, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang pemerintahannya. 

Tidak kurang juga yang mahukan Anwar Ibrahim kerana janji yang perlu dikotakan (menjadi Perdana Menteri) dan atas kesungguhan beliau dalam perjuangan parti tidak berasaskan kaum. 

Selain menjadi pilihan popular masyarakat, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga merupakan calon yang paling kerap ditolak. Ikuti video kami yang akan menyusul beberapa jam lagi-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here