Rakyat Malaysia dijangkiti coronavirus di hospital swasta, Mid Valley palsu

0
87
Mesej tular bahawa terdapat rakyat tempatan dijangkiti coronavirus di Mid Valley adalah palsu

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan terdapat kes jangkitan baharu penyakit Novel 2019 Coronavirus (2019-nCoV) di sebuah pusat beli belah dan hospital swasta di Kuala Lumpur seperti yang ditularkan sejak semalam.

Menurutnya dalam satu kenyataan, kedua-dua berita yang disebarkan itu adalah palsu.

Berita palsu mengenai terdapat rakyat Malaysia yang dirawat di Hospital Sunway Cheras akibat coronavirus

“Kedua-dua berita yang disebarkan ini adalah berita palsu. Tiada kes 2019-nCoV yang dikesan di Mid Valley dan juga Hospital Sunway Cheras.

“Jangan berkongsi atau menyebarkan berita palsu ini,” tegasnya dalam laman Facebook kementerian, semalam.

Jumlah terkini kes coronavirus di beberapa negara

Dalam pada itu, dalam status berasingan, kementerian tersebut menyebut hanya terdapat 14 kes positif 2019-nCoV yang masih dirawat di wad isolasi di beberapa hospital di Malaysia.

Jelasnya, ia melibatkan empat pesakit rakyat tempatan dan 10 warga China.

“Daripada 16 kes positif 2019-nCoV setakat ini, dua kes telah sembuh dan discaj daripada hospital.

“Pesakit pertama yang sembuh dan discaj ialah kes keenam iaitu kanak-kanak perempuan empat tahun yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha, Langkawi pada 4 Februari lalu,” ujarnya.

Tambahnya, kes kedua yang dibenarkan keluar ialah seorang lelaki 40 tahun yg discaj dari Hospital Permai, Johor, semalam.

“Dua warga China ini didapati negatif 2019-nCoV selepas tiga kali ujian ulangan pengesanan. Enam kes iaitu kes pertama, ketiga, kelima, ketujuh, kelapan dan ke-10 telah dibuat ujian ulangan pertama dan keputusannya negatif.

“Ujian ulangan pengesanan kedua akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tanggapan banyak pihak bahawa penyakit tersebut pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak benar kerana jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here