RM1.14 bilion bagi pembangunan infrastruktur Terengganu

0
381

KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM1.14 bilion diperuntukkan untuk Terengganu bagi pembangunan infrastruktur tahun ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jambatan Angkat yang menjadi ikon pelancongan terbaharu Terengganu.

Katanya, peruntukan tersebut diharap dapat memberi impak positif terhadap ekonomi dan sektor pelancongan di Terengganu.

“Hari ini saya turun (ke Terengganu) melihat beberapa projek pembangunan termasuk Kompleks Pasar Payang yang sedang dibangunkan serta memerlukan perhatian supaya dapat disiapkan mengikut jadual dan sebentar tadi saya melawat jambatan angkat ‘drawbridge’ yang cukup menarik untuk kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

“Lawatan kerja saya dan kementerian ini memang dilakukan setiap bulan untuk melihat bagaimana kementerian dapat membantu pembangunan di peringkat daerah dan negeri selaras Wawasan Kemakmuran Bersama untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri serta wilayah,” katanya selepas melawat Pasar Besar Kedai Payang, di sini hari ini.

Lawatan tersebut turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, selain Terengganu kementerian juga telah mengenal pasti lima negeri lain yang memerlukan lebih banyak pembangunan iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.             
Mohamed Azmin berkata, selain pembangunan infrastruktur, terdapat beberapa peruntukan tambahan akan disalurkan ke negeri itu bergantung kepada keadaan dan keperluan tertentu antaranya masalah hakisan pantai di beberapa daerah seperti Dungun serta Kuala Nerus.

“Kerajaan Terengganu sudah membentangkan perkara ini dalam mesyuarat ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada November lalu di mana sejumlah peruntukan diperlukan segera kerana hakisan semakin serius.

“Masalah hakisan pantai ini adalah keperluan mendesak, oleh kerana itu ia perlu diberi pertimbangan serius yang jangkaan kosnya adalah RM80 juta,” katanya.

Katanya, sebelum ini, sebanyak RM64 juta telah disalurkan kepada Terengganu untuk mengatasi masalah hakisan di empat lokasi dalam proses baik pulih fasa pertama.

Beliau berkata, projek baik pulih untuk fasa kedua sebanyak RM80 juta itu dijangka dimulakan pada pertengahan tahun ini untuk mengelak masalah hakisan yang semakin teruk sebelum musim tengkujuh pada akhir tahun ini.

Ditanya mengenai langkah kerajaan memininumkan kesan kerugian ekonomi berikutan jangkitan wabak Covid-19yang turut menjejaskan industri pelancongan negara, beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan di Kuala Lumpur petang ini.

“Mesyuarat membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta beberapa kementerian berkaitan akan membincangkan pakej rangsangan ekonomi untuk  menyuntik dana bagi menjana pertumbuhan ekonomi dalam negara dan menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Ini yang akan dibincangkan, apakah insentif atau pengecualian yang akan diberi dalam satu tempoh keadaan yang mendesak susulan serangan virus ini bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan.

“Jadi saya tidak mahu buat sebarang spekulasi kerana (keputusannya) tertakluk kepada perbincangan petang ini,” katanya yang mahu kerajaan negeri terus memperhebatkan promosi destinasi menarik untuk menggalakkan pelancongan domestik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here