AZHAR AZIZAN HARUN
CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai peranan dalam proses membubarkan Parlimen.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen.
Beliau berkata, SPR hanya berperanan apabila Parlimen dibubarkan dan dalam hal ini agensi itu bersedia melaksanakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari berdasarkan Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan sekiranya dibuat sebarang keputusan membubarkan Parlimen ekoran dari perkembangan semasa politik tanah air.
“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, SPR telah diperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi melaksanakan pilihan raya itu. Peruntukan ini digunakan bagi memastikan seramai 14,940,624 pengundi diberikan kemudahan untuk memilih 222 Ahli Dewan Rakyat dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Seramai 259,443 petugas digerakkan bagi memastikan PRU-14 itu berjalan lancar. Daripada jumlah tersebut seramai 222 pegawai pengurus, 29,054 Ketua Tempat Mengundi dan selebihnya dari pelbagai kategori petugas telah dilantik bagi melancarkan proses pengundian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azhar, sebanyak 8,839 pusat mengundi dan 29, 054 saluran telah dibuka di seluruh negara.
Kata beliau, selain itu, sebanyak 600,417 buku kertas undi dan 88,113 botol dakwat pilihan raya turut digunakan pada PRU-14.
“Sekiranya berlaku PRU kali ini, SPR menganggarkan jumlah perbelanjaan antara RM750 juta hingga RM800 juta.
“Pertambahan itu tidak dapat dielakkan kerana SPR bercadang meneruskan semua penambahbaikan yang telah dilaksanakan dalam 10 pilihan raya kecil selepas PRU-14 lalu,” ujarnya.
Tambahnya, antara penambahbaikan itu pusat mengundi dan saluran serta penyediaan saluran khas untuk pengundi dari golongan orang kurang upaya (OKU).
“SPR juga akan menyediakan kemudahan pengundi warga emas dan OKU. Di samping itu, penambahbaikan prasarana pusat mengundi seperti pembinaan laluan bersimen, tanjakan untuk penggunaan kerusi roda dan lain-lain kemudahan bagi memastikan keselesaan semasa proses pengundian berlangsung,” ujarnya. – MT