Sabah, Sarawak jadi King Maker kemuka syarat pada PH

0
255
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg (kanan) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dikatakan turut hadir di Istana Negara semalam.
Gambar :Media sosial

KUALA LUMPUR – Sejumlah 56 ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dikatakan berada dalam keadaan penentu atau ‘King Maker’ berikutan keadaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terumbang-ambing.

Sumber daripada PH mendakwa, kehadiran Pas dalam gabungan baharu politik yang digerakkan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali itu bagaimanapun mungkin menjadi penghalang.

Sumber berkata, kedua-dua kumpulan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak telah menyatakan syarat kerjasama mereka dalam gabungan baharu politik itu.

“Mohd. Shafie Apdal tidak mahu Bersatu terlibat di Sabah yang merupakan tawaran lebih mudah untuk dicapai bersama Anwar.

“Apa yang lebih sukar untuk dirunding ialah Gabungan Parti Sarawak mahu kerusi timbalan perdana menteri dan lebih banyak hak di bawah perjanjian MA63.

“Mereka juga menawarkan keadaan pembangkang sifar di Sarawak,” kata sumber itu dipetik Malaysiakini hari ini.

GPS mempunyai 18 ahli Parlimen, manakala parti Warisan pimpinan Mohd. Shafie dan sekutu Upko mempunyai 10 ahli Parlimen. Jumlah itu membolehkan mereka mengemukakan tuntutan kepada kedua-dua belah pihak.

Hari ini, pemimpin GPS, James Masing, yang mengetuai Parti Rakyat Sarawak ketika ditanya mengenai kerjasama dengan Pas berkata:

“Saya fikir kita lebih selesa dengan Pas berbanding keangkuhan DAP.”

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini juga menyerahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu, yang mempunyai 26 ahli Parlimen.

Terdahulu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada PH.

Langkahnya diikuti oleh Mohamed Azmin yang mengetuai 10 ahli Parlimen keluar parti.

Dengan PH kehilngan 37 ahli Parlimen, kedua-dua gabungan pro Azmin dan Anwar cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen dari Malaysia Timur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here