
RAUDHAH CITY- Ingin melihat produk tempatan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat antara faktor bekas kapten skuad kebangsaan Harimau Malaya, Safiq Rahim tampil menjadi usahawan produk sukan.
Walaupun kariernya sebagai pemain ketika ini masih ‘segar’ di padang bersama Melaka United, Safiq dilihat begitu bijak dalam membahagikan masa demi memastikan Sportsrevo berkembang maju.
Manakan tidak, biarpun baharu sahaja pulang dari Bandung, Indonesia bagi menjalani latihan pra musim dan siri perlawanan persahabatan, Safiq hari ini masih sempat hadir ke Kompleks Brainy Bunch di sini.
Tujuan utama kehadiran pemain tengah Melaka United itu adalah untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kedai sukan, Tahan Sports bagi memasarkan produk keluaran Sportsrevo di Malakat Mall.
Safiq nampaknya bijak mengambil peluang dan menghargai segala ruang yang diberikan untuk memasarkan produknya di pusat beli belah milik Muslim itu yang akan dibuka 1 Mac ini.

Safiq ketika dalam sidang akhbar selepas menandatangani MoU itu berkata, beliau mahu produk sukan jenama tempatan mendapat tempat di hati masyarakat sama seperti di negara luar.
“Kita lihat di Thailand, mereka amat berbangga dengan produk tempatan sehingga pasukan negara itu memakai jenama tempatan. Itu juga menjadi impian saya untuk skuad kebangsaan nanti.
“Kita sebenarnya tiada lagi produk sukan tempatan ‘dari atas sampai bawah’. Saya mahu cetuskan perkara ini, dengan sokongan semua saya yakin produk ini akan berjaya dan mampu diketengahkan.
“Untuk pengetahuan semua harga produk sukan Sportsrevo amat berpatutan, saya rendahkan harga tetapi, kualiti setanding dengan produk sukan terkemuka. Itu janji kami di Sportsrevo,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT) itu berkata, beliau berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim yang memberikan peluang kepadanya.

“Sebelum ini, saya telah datang berbincang mengenai Sportsrevo. Alhamdulillah, hari ini kerjasama ini telah menjadi kenyataan seperti dirancang. Produk saya akan ada di Tahan Sports Mac ini,” katanya.
Sementara itu, Safiq memaklumkan, peluang untuk bekerjsama dengan Malakat Mall adalah platform terbaik memasarkan lagi produk sukan Sportsrevo yang telah diasaskannya sejak setahun lalu.
“Kami di Sportsrevo memasarkan semua jenis barangan sukan dan buat masa sekarang fokus diberikan kepada keperluan barangan sukan bola sepak dan larian. Selepas ini, kita akan rancang pelbagaikan lagi produk.
“Saya juga merancang untuk membuka sebuah akademi bola sepak dengan kerjasama Kumpulan Brainy Bunch, usaha ini dapat membantu bekas-bekas pemain profesional dan dalam masa sama mencurahkan pengalaman yang ada,” katanya.
Dalam pada itu katanya, jersi Sportsrevo pada tahun lalu telah dipakai oleh pasukan Selangor United dalam saingan Liga Perdana dan pada musim ini akan dipakai oleh pasukan Melaka City United di Liga M3.
“Alhamdulillah Sportsrevo mula dikenali, kita ambil langkah demi langkah dan saya menyasarkan pada 2021 akan ada pasukan yang bersaing dalam Liga Super memakai jersi jenama ini. Kita akan berusaha mencapai sasaran itu.-MT