Sampai bila perlu bersabar dengan pemandu mabuk?

0
363
Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita yang di bawah pengaruh alkohol remuk teruk selepas melanggar penunggang dan pembonceng motosikal semalam di Pulau Pinang

SEMALAM satu lagi berita menyedihkan melibatkan satu kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk dan dua rakan baik berlaku di Pulau Pinang.

Mangsa, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, dan Muhammad Amin Najmi Azaman, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR maut di tempat kejadian akibat dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita yang baru keluar dari sebuah pusat karaoke.

Dua hari sebelum kejadian menyayat hati ini, satu lagi kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk turut berlaku di Pulau Pinang, kali ini kejadian tersebut telah meragut nyawa Khairizul Mohamad Noor, 39, manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, mengalami kecederaan parah dan masih berada dalam keadaan kritikal.

Lebih memilukan apabila kedua-dua pasangan ini yang dilanggar oleh seorang lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol mempunyai lima orang anak yang masih kecil.

Jika disoroti lebih awal, kejadian kes dilanggar oleh pemandu mabuk bukan perkara baharu malah sebelum dua kes ini berlaku beberapa kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk dan orang tidak berdosa sering berlaku.

Mengikut rekod polis, sebanyak 191 kes kematian berpunca daripada pemanduan mabuk direkodkan pada 2018, manakala tahun sebelumnya sebanyak 212 kes direkodkan.

Ironinya, pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja tidak mengalami sebarang kecederaan malah masih boleh lagi keluar daripada kenderaan tanpa berasa bersalah.

Paling membingungkan orang awam pada hari ini mengapa kes langgar seperti ini terus menerus berlaku seperti tiada kesudahan.

Sehingga kini, kenyataan yang boleh menyedapkan hati hanya dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony LOke Siew Fook pada hujung bulan lalu yang menyebaut kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Jika dilihat semula undang-undang dan hukuman sedia ada, kesalahan besar yang dilakukan oleh pemandu mabuk tidak padan dengan hukuman yang bakal diterimanya. Sepatutnya hukuman yang lebih tegas perlu dikenakan supaya boleh menggerunkan orang lain.

Paling tidak pun, orang awam mahu melihat penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk sama seperti penguatkuasaan terhadap perokok tegar di premis makanan.

Jika penguatkuasa Kementerian Kesihatan sanggup untuk turun ke setiap premis-premis makanan untuk memantau orang yang merokok kenapa perkara sama tidak dilakukan di hadapan kelab-kelab malam, pub, karaoke atau tempat sewaktu dengannya.

Sebelum pemandu mabuk itu mahu menghidupkan enjin kenderaan, ketika itu jugalah penguatkuasa melakukan pencegahan. Seperti kata perumpamaan popular ‘mencegah adalah lebih baik daripada merawat’.

Tetapi jika tidak mampu lakukannya, adalah lebih baik tutup sahaja premis yang membawa kemudaratan kepada masyarakat terbanyak ini.

Bukan apa, dibimbangi jika orang awam sudah tidak tahan lagi akhirnya mereka akan mengambil tindakan penguatkuasaan sendiri. Perkara inilah yang perlu dijauhi dan dibimbangi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here