RAUDHAH CITY – Filem pendek animasi, Kring! Menjadi pembuka jalan bagi Brainy Bones Studio untuk menerbitkan sebuah filem animasi melibatkan juruanimasi dari seluruh dunia.
Ketua Pegawai Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim berkata, langkah itu dalam proses untuk diteliti sebelum diperkenalkan tidak lama lagi.
“Sebagai contoh kita akan bangunkan filem animasi Salman Al-Farisi. Kos untuk membuat filem animasi memerlukan modal besar dan kita tiada kemampuan itu. Tidak seperti syarikat animasi antarabangsa lain seperti Pixars yang mempunyai modal besar menghasilkan filem animasi.
Brainy Bones Studio merupakan anak syarikat Kumpulan Brainy Bunch.
“Kita mempunyai perancangan menggabungkan juruanimasi seluruh dunia bagi menghasilkan sebuah filem tanpa melibatkan modal yang besar,” katanya ketika ditemui di sini.
Mohd. Fadzil memberitahu, antara perancangan yang akan dibuat ialah membangunkan sebuah platform untuk juruanimasi seluruh dunia untuk sertai dan bekerja melalui satu protokol internet (IP) dalam menghasilkan filem tersebut.
“Sebanyak 70 peratus hasil pendapatan diberikan kepada mereka manakala pihak kami hanya mengambil 30 peratus sahaja.
“Menariknya, para juruanimasi ini tidak perlu berhenti kerja sebaliknya boleh melakukan dimana-mana tanpa mengabaikan kerja hakiki,” katanya.
Mohd. Fadzil menjelaskan, cara baharu ini akan memberi inspirasi kepada pihak lain dalam menghasilkan animasi tanpa menggunakan sumber yang banyak.
Dalam pada itu, mengenai kejayaan filem Kring! Yang memenangi Anugerah Filem Pendek Animasi Terbaik pada Festival Antarabangsa Du Film Su Les Handicap 2020 (FIFH 2020) di Perancis minggu lalu, beliau berkata, ia merupakan strategi untuk melangkah lebih jauh.
Tambah beliau, kejayaan itu menjadi kreadibiliti pihaknya menghasilkan sebuah filem animasi yang diyakini oleh semua pihak. – MT