Selesaikan segera kemelut politik negara

0
70

APA Khabar Orang Kita…Semua pastinya tengah pening memikirkan polemik politik negara ketika ini yang agak kucar kacir dan seakan-akan tiada bayang dapat diselesaikan dengan mudah.

Bagi pemimpin politik, mereka pastinya ada ego serta agenda masing-masing yang diutamakan. Tidak mahu kalah dan mahu meletakkan pilihan sendiri untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

Apa pun yang direncanakan mereka, ingatlah bahawa rakyat adalah penentu segalanya dan nasib rakyat juga haruslah diberikan keutamaan walaupun diakui sememangnya sering terpinggir.

Apa yang penulis perkatakan itu ada benarnya, mana-mana gabungan politik mereka janjikan bulan dan bintang kepada rakyat tetapi bila menang kelibat dan bayang pun sukar dilihat.

Bukan semua begitu, tetapi ada juga yang langsung tidak balik ke kawasan. Jika ada, ketika menyampaikan bantuan dengan hasrat muka terpampang di dada akhbar dan televisyen.

Berbalik kepada senario politik negara, sekarang Malaysia ditadbir Perdana Menteri Interim yang bidang kuasanya terhad dan seharusnya perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan lama.

Hari ini, Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja berlangsung dan pastinya semua menunggu penuh debar apa keputusannya. Apa yang pasti kebijaksaan Majlis Raja-Raja menjadi harapan semua.

Pun begitu, semalam Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat mendahului mesyuarat berkenaan dengan mengumumkan bahawa Sidang Dewan Rakyat akan menjadi penentu.

Katanya, 222 ahli parlimen akan mengundi di Dewan Rakyat pada Isnin ini untuk memilih siapa bakal Perdana Menteri ke-8, jika tiada keputusan maka akan berlaku pilihan raya.

Secara jelasnya, pengumuman itu menunjukkan tiada mana-mana gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dan perkara ini tidak boleh dibiarkan lama.

Bagi pendapat penulis, polemik politik yang melanda ketika ini perlu diselesai mengikut apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara dan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Jika sudah tiba masa rakyat diberikan mandat untuk menentukan gabungan mana yang layak maka, biar sahaja rakyat yang menentukannya dan umum Pilihan Raya Umum (PRU).

Namun, ada yang bersetuju dan sebaliknya kerana melalui PRU pelbagai itu dibangkitkan seperti negara perlu membelanjakan sekitar RM600 juta hingga RM700 juta untuk tujuan itu.

Pembubaran Parlimen untuk diadakan PRU bagi menyelesaikan polemik itu bukan pilihan yang sesuai, tetapi itu adalah pilihan terbaik menjamin kestabilan politik dan mengembalikan suara rakyat.

Apa yang pasti, kita perlu menunggu hasil Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja kerana pastinya kebijaksanaan dan kearifan Majlis Raja-Raja mampu mencari jalan penyelesaian terbaik.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here