Semua menteri Kabinet diminta kosongkan pejabat

0
5600
Sebahagian menteri Kabinet dan menteri besar PH bergambar dalam satu majlis sebelum ini.

CYBERJAYA – Semua menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi dibenarkan memasuki pejabat masing-masing susulan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, petang tadi.

Menurut seorang pegawai menteri yang enggan dikenali berkata, susulan keputusan Dr. Mahathir itu secara automatik semua jawatan menteri Kabinet telah terbubar.

“Selepas pengumuman mengejutkan Dr. Mahathir itu, jawatan semua menteri dan timbalan menteri telah terbubar. Mereka juga tidak boleh lagi memasuki pejabat seperti biasa.

“Selain itu, pegawai-pegawai menteri juga tidak boleh memasuki pejabat dan hanya boleh mengambil barangan peribadi dengan diawasi penyelia,” katanya kepada Malakat Tribune.

Mengulas lebih lanjut mengenai pergolakan politik itu, katanya, ketika ini kedua-dua belah pihak mempunyai sokongan sama rata dan tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan pasukan mereka lebih kuat.

“Apa yang saya boleh katakan situasi sekarang 50-50, walaupun kita lihat sekarang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meninggalkan PH tetapi terdapat dalam kalangan ahli parlimen mereka sendiri tidak menyokong keputusan tersebut dan lebih condong dengan PH,” katanya yang bertugas dengan salah seorang menteri daripada PKR.

Situasi politik tanah air semakin panas apabila peletakan jawatan Dr. Mahathir telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong namun, baginda berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri interim buat masa ini.

Pengumuman tersebut yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali turut memaklumkan Dr. Mahathir akan memangku jawatan tersebut sehingga Perdana Menteri baharu dilantik mengikut lunas undang-undang negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here