Setiu bakal miliki ladang ternakan rusa moden

0
404

CYBERJAYA – Sebuah kawasan ladang ternakan rusa akan diwujudkan di Setiu, Terengganu tahun ini sekali gus akan merancakkan lagi sektor penternakan di negeri tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim, ladang ternakan tersebut yang bakal diubah suai daripada Ladang Ternakan Haiwan Chalok Setiu akan dipasang pagar di kawasan sekelilingnya menggunakan pagar jenis siklon bagi mengelakkan kecederaan kepada rusa.

Beliau berkata, sebagai permulaan rusa spesies timorensis menjadi pilihan untuk diternak kerana mudah dijaga, tahan penyakit dan cepat membiak.

“Kawasan penternakan rusa ini perlu dipagar keliling menggunakan pagar siklon setinggi enam kaki yang mempunyai daya lenturan untuk mengelakkan kecederaan kepada rusa.

“Ketinggian enam kaki adalah mencukupi dan tidak mampu dilepasi oleh rusa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, katanya, kawasan yang dipagar itu pula kemudiannya akan dibahagikan kepada petak-petak atau pedok ragutan bagi memudahkan ragutan secara bergilir dilakukan.

“Kawasan ragutan itu perlu ditanam dengan rumput bermutu seperti rumput humidicola.

“Selain itu, pokok-pokok hutan yang besar sebahagiannya perlu dibiarkan sebagai tempat rusa berteduh dan berehat dan memberi suasana yang hampir kepada habitat asalnya,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here