‘Siapa kata kempen BMF sudah ‘sejuk’

0
1342

RAUDHAH CITY – Dakwaan segelintir pihak kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) sudah ‘sejuk’ tidak benar sebaliknya semakin rancak dan mendapat sambutan orang ramai.

Ketua Prasarana Kempen BMF Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari berkata, kempen itu tetap segar dan masih diteruskan seperti yang dirancang.

Menurut beliau, Raudhah Grocer di Bangi, Selangor menjadi contoh bagaimana sambutan diterima amat menggalakkan berikutan jumlah pelanggan meningkat secara mendadak.

“Melihat kepada perkembangan itu, kempen BMF akan diteruskan di Pahang melalui Karnival BMF di Bentong yang diadakan selama tiga hari bermula 28 Februari ini dan diikuti di Jerantut nanti,” katanya seperti dipetik portal Melayu Bangkit News hari ini.

Mohd. Nor Izzat yang lebih dikenali sebagai cikgu Izzat menambah, gerakan BMF di Pahang kian membara berikutan sokongan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman secara terus menerus dalam menjayakan usaha itu.

Tambah beliau,agenda menyokong kempen itu disebut secara jelas, tanpa gagal dalam khutbah kedua pada setiap solat Jumaat.

“Selain itu, sokongan dari Majlis Ugama Islam Selangor (MUIS) pada tahun ini semakin baik. Kami berterima kasih diatas sokongan padu termasuk Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP),” ujarnya.

Mengenai pembukaan Raudhah Grocer di Jerantut, beliau memberitahu, majlis pecah tanah untuk pasar raya itu yang pertama di Pahang akan diadakan di kawasan Masjid Tengku Mahkota Abdullah.

“Kami pilih Jerantut kerana di situlah bermulanya kempen BMF,” ujarnya.

Kata beliau, bagi sesetengah masjid yang telah ada pasar mini, pihaknya tidak akan membuka Raudhah Grocer di situ sebaliknya memberi penarafan ‘Muslim Kiosk’ sebagai kedai Muslim dan membantu dengan bantuan bekalan barangan.

Selain itu jelas beliau, pihaknya membuka peluang kepada pemilik kedai runcit untuk menyertai Skim Hijrah Raudhah.

“Skim hijrah ini mengandungi tiga elemen iaitu menukar papan tanda, penambahan barangan dan penambahan sistem barangan,” jelasnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here