KUALA LUMPUR – Kesibukan petugas media yang membuat liputan di Istana Negara bukan sahaja mendapat perhatian syarikat-syarikat swasta yang memberi pelbagai sumbangan malah turut disertai artis terkenal, Siti Sarah Raisuddin.
Siti Sarah yang popular dengan lagu ‘Semakin’ itu berada di perkarangan pintu masuk utama Istana Negara sejak pukul 10 pagi lagi.
Menurutnya, beliau terpanggil datang ke sini untuk merasai bagaimana tugas pengamal media dalam memberi liputan berita kepada rakyat Malaysia.
“Kalau tengok cuaca panas Sarah cuba bayangkan betapa tabahnya petugas media dalam menjalankan tugas. Bukan satu kerja mudah,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.
Tambah Sarah, beliau hadir ke sini dengan memberi sumbangan berupa minuman Bubble Bean dan stik madu bagi memudahkan petugas media menjalankan tugas dengan baik.
Dalam pada itu, petugas media terus mendapat perhatian apabila menerima sumbangan berupa makanan, minuman, buah-buahan daripada pelbagai pihak.
Malah ada juga syarikat swasta memberi pewangi badan dan krim supaya petugas media tidak letih sepanjang berada di luar istana.
Pihak Istana Negara juga turut menyumbang makanan berupa tempoyak patin kepada petugas media. – MT