Suka atau tidak, CRS penting bagi keselamatan kanak-kanak

0
162
GAMBAR HIASAN

PADA tahun ini, kerajaan telah mula mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) bagi pengguna kenderaan persendirian.

Penguatkuasaan belum dimulakan bagi enam bulan pertama ini dan hanya amaran diberikan pada pengguna yang tidak mematuhi arahan ini.

Sebagai rekod, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 577 notis advokasi kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa CRS setakat bulan Januari lalu.

Cakcibor sebenarnya mengalu-alukan undang-undang ini, namun pada masa sama, cukup arif mengenai dilema dihadapi oleh ibu bapa, terutamanya mengenai kos yang bakal dihadapi.

Umum tahu, harga sebuah CRS bukannya murah, dan boleh mencecah ribuan ringgit. Nak beli satu sahaja pun sudah boleh ‘berpeluh’, bayangkan keluarga yang mempunyai tiga orang anak ke atas yang masih kecil.

Walaupun ada cakap-cakap yang berkata, “Alaaa.. beli yang murah-murah sudah,” golongan ini bukannya faham apa dimaksudkan dengan CRS yang mempunyai kelas tersendiri.

Secara umumnya, CRS mempunyai tiga kelas iaitu kelas I, II dan III, yang mana tiap satu hanya sesuai bagi berat badan dan umur tertentu.

Setakat Cakcibor survey di kedai-kedai maya, CRS bagi kelas I, iaitu bagi bayi hingga umur 3 tahun, harganya berpatutan, dengan yang paling rendah dalam lingkungan RM200 sahaja.

Bagi kelas III, iaitu bagi kanak-kanak berumur sehingga lingkungan 12 tahun, atau seberar 36kg, harganya lebih mahal dan mencecah hingga ribuan ringgit.

Cakcibor sendiri bapa kepada dua anak, dan sudah tentu hal ini agak memeningkan sedikit kepala yang memang sudah selalu pening-pening lalat ini.

Pada Cakcibor, keselamatan bukan satu hal yang boleh dikompromi. Suka atau tidak, kena hadapi jugak. Berkenaan kos, terpaksalah Cakcibor dan isteri hadapi juga dengan cara mengumpul wang.

Dalam seminggu ini, ada dua insiden yang menunjukkan kepentingan CRS.

Yang pertama, insiden di Negeri Sembilan, di mana seorang budak tercampak di atas lorong laju lebuh raya selepas kereta bapanya bergesel dengan sebuah kenderaan lain. Tak perlu Cakcibor ceritakan lebih lanjut apa yang terjadi kemudian, kerana video kejadian tersebut telah menjadi tular di alam maya, dan dikongsi pengguna menerusi grup-grup aplikasi WhatsApp.

Satu lagi insiden, yang agak meruntun jiwa, apabila salah seorang rakan Cakcibor kehilangan anak bongsu beliau dalam satu kemalangan di Pahang, baru-baru ini. Menurut maklumat, anak beliau yang berumur 2 tahun dipangku oleh kakaknya, dan ketika kejadian, bayi malang itu tercampak keluar dari kenderaan lalu meninggal dunia.

Bagi yang mampu, belilah CRS tersebut. Bukan untuk orang lain, anak kita sendiri juga.

Dan pada masa sama, pihak kerajaan mungkin boleh memikirkan satu mekanisme bagi membantu ibu bapa mengatasi isu kos tersebut, sebagai contoh, satu pinjaman jangka pendek mungkin boleh membantu. Ialah kan, kalau beli telefon pintar pun boleh ambil pinjaman, takkan CRS untuk anak sendiri tak boleh? Betul tak?

Apa isu pun, boleh diselesaikan kalau kita betul-betul serius untuk tangani.

Sendiri mau ingat lah…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here