‘Sumbangan disalurkan terus ke badan kebajikan di Palestin’

0
213

CYBERJAYA – Mengapa sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia tidak disampaikan melalui Duta Palestin adalah kerana disalurkan terus kepada badan-badan kebajikan negara itu yang terletak di Gaza dan Baitulmaqdis.

Itu dinyatakan oleh Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin yang menambah, selain Gaza dan Baitulmaqdis, sumbangan melalui NGO negara ini juga turut disalurkan ke kem-kem Palestin di Syria, Lubnan dan Jordan.

“Saya sendiri adalah antara Perunding Aman Palestin dan telah turut serta menyertai misi kemanusiaan ke Palestin, Syria, Lubnan dan Jordan sejak tahun 2007 lagi.

“Kami juga tidak berikan sumbangan melalui ahli politik seperti PA dan Duta Palestin, apatah lagi kepada mereka yang mempunyai rekod korupsi,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Portal Berita Harian melaporkan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Difahamkan, derma dan sumbangan mencecah jutaan ringgit setiap tahun yang dikutip di negara ini sepatutnya sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir urus Kementerian Wakaf Jordan dan pihak berkuasa Palestin.

Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali berkata, keadaan ini dikesan sejak dua tahun lalu selepas pihaknya menerima maklumat tidak ada penyaluran sumbangan daripada rakyat Malaysia untuk Masjid Al-Aqsa, meskipun banyak pihak mengutip dana.

Walid berkata, pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan pengurusan Masjid Al-Aqsa untuk mendapatkan pengesahan mengenai sumbangan rakyat Malaysia, namun maklumat diterima mendapati dana tidak sampai kepada mereka. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here