
RAUDHAH CITY- Produk pencuci jenama Suri yang berpangkalan di Sri Manjung, Perak kini meluaskan lagi pemasaran barangannya dalam sektor peruncitan.
Sebelum ini, produk itu hanya dibekalkan kepada kontraktor-kontraktor yang menjalankan perkhidmatan pembersihan dan tidak dijual secara runcit.
Produk yang dikeluarkan syarikat MyThree A Star Enterprise itu boleh didapati di Raudhah Grocer Malakat Mall yang akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Mac ini.
Pengarah MyThree A Star, Surianti Sobri berkata, Raudhah Grocer adalah lokasi pertama yang akan menjual pelbagai produk pencuci jenama Suri secara runcit.
Beliau berkata, terdapat 15 jenis produk pencuci akan ditempatkan di Raudhah Grocer seperti pencuci lantai, pewangi, pencuci pinggan, pencuci tangan dan lain-lain.
“Kita ada 15 produk, harganya amat berpatutan dan mampu milik. Walaupun harganya rendah, kami tidak mengabaikan aspek kualiti untuk kepuasan pelanggan.
“Syarikat kami bermula pada 2015 di kilang kecil di Sri Manjung, idea formula sabun ini adalah datang daripada ahli keluarga sendiri. Alhamdulillah kini semakin berkembang.
“Kami juga ada cawangan di Setapak, Kuala Lumpur. Peluang untuk masuk dalam bidang runcit ini hadir bila kita melihat permintaan yang tinggi daripada pengguna,”katanya.
Mengulas lanjut, Surianti berkata, proses pembuatan produk pencuci diketuai oleh Pengurus Operasi MyThree A Star, Kamaruzaman [email protected] Bakar.

Surianti berkata, permintaaan daripada syarikat kontraktor pembersihan amat menggalakkan dengan pengeluaran 20,000 botol sebulan bagi setiap jenis.
Ditanya mengapa memilih Raudhah Grocer di Malakat Mall, Surianti berkata, sebagai pemilik produk Muslim, beliau yakin barangan pencuci miliknya akan diterima ramai di situ.
“Sebelum ini, saya ada berhubung dengan pihak pengurusan Malakat Mall untuk memperkenalkan produk. Alhamdulillah hari ini, kerjasama kedua-dua pihak dimuktamadkan,” katanya.
Dalam pada itu, Surianti berharap produk keluaran syarikatnya dapat diterima oleh pengguna dan mampu bersaing dengan produk sedia ada di pasaran.- MT