Tiada istilah Perdana Menteri interim dalam Perlembagaan

0
232

Oleh: Siti Azielah Wahi

CYBERJAYA – Istilah Perdana Menteri interim tidak ada dalam Perlembagaan, kata Pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof.

Oleh itu, kata Muhammad Fathi, definisi fungsi dan skop kuasa Perdana Menteri interim perlu merujuk kepada beberapa peruntukan berkaitan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang melantik Perdana Menteri interim, kuasa Perdana Menteri dan kaedah penubuhan kerajaan serta keseluruhan semangat Perlembagaan itu sendiri.

“Pelantikan itu berlaku  ini setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Ketua Setiausaha Negara kemudian mengumumkan bahawa tugas-tugas anggota pentadbiran, merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, adalah terhenti pada tarikh perletakan jawatan Perdana Menteri.

“Penamatan fungsi ini adalah berdasarkan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan,” jelasnya .

Menurut Muhammad Fathi, dari sudut undang-undang Perlembagaan, peletakan jawatan seorang Perdana Menteri menyebabkan seluruh Kabinet tidak lagi berfungsi seperti biasa.

“Dengan lain perkataan, peletakan jawatan Perdana Menteri membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet.

“Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. Penamatan jawatan anggota Kabinet dan pemegang lantikan politik lain di bawah Perkara 43(5) memperkukuhkan konsep ini,” katanya .

Walau bagaimanapun, menurut Muhammad Fathi, pentadbiran biasa kerajaan tetap berjalan tanpa terhenti.

“Situasinya hampir sama dengan situasi pembubaran Parlimen. Konsep Raja Berperlembagaan yang berjalan seiring dengan konsep Demokrasi Berparlimen menjadikan sistem pentadbiran negara mampu terus utuh, stabil dan kukuh walau pun terdapat kekosongan dalam konteks perjawatan politik,” jelasnya.

Tambah Muhammad Fathi lagi, dalam situasi ketiadaan anggota Kabinet, Yang di-Pertuan Agong dapat melaksanakan peranan asasi Seri Paduka sebagai ketua utama negara. – MBN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here