‘Tidak wajar Tun M dahului titah Agong’

0
194

CYBERJAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan yang baru dikeluarkan malam ini, majlis presiden pakatan parti itu berpendirian adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad  mendahului titah Seri Paduka Baginda dalam hal ini.

Malah pengumuman Perdana Menteri Interim itu memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka.

“Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini.

“Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini,” kata kenyataan itu.

Petang tadi, Dr. Mahathir berkata, emua ahli Parlimen seramai 222 orang akan mengundi bakal Perdana Menteri kelapan pada 2 Mac ini di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana pihak memperoleh sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri kelapan pada pertemuan dengan Seri Paduka selama dua hari di Istana Negara. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here