Topeng muka cenderahati di majlis perkahwinan

0
208

CYBERJAYA- Peka dengan perkembangan semasa penularan Covid-19, pasangan pengantin baharu dari Kampung Tebing Tinggi, di Kubang Krian, Kelantan mengambil inisiatif mengedarkan lebih 2,000 topeng muka kepada tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan mereka, semalam.

Farkhan Mohamad, 26, bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Bandar 32, Bera, Pahang, manakala Nur Tasnim adalah jururawat di Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), mendapat idea mengedarkan topeng muka kepada tetamu dalam usaha mengekang penyebaran virus berkenaan.

Menerusi laporan Berita Harian Nur Tasnim memaklumkan, dia mahu majlis ‘Raja Sehari’ itu memberi makna selain bermanfaat kepada tetamu untuk sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga dengan setiap wabak penyakit yang berlaku.

“Saya dan suami memang merancang mengedarkan topeng muka bukan sahaja memberi satu kelainan pada majlis kami, malah pada masa yang sama memberikan info berguna mengenai kepentingan untuk berhati-hati dengan sebarang virus berbahaya.

“Tambahan pula, kegunaan topeng muka ini bukan hanya mengelak daripada dijangkiti Covid-19, malah berguna untuk penyakit berjangkit yang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinannya di Kampung Tebing Tinggi, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Dia yang cantik mengenakan busana pengantin berwarna merah jambu berkata, permintaan topeng muka yang tinggi juga menjadi faktor utama mereka mengambil keputusan mengedarkannya secara percuma.

“Jika di farmasi mahupun jualan dalam talian, kebanyakan topeng mudah kehabisan stok jadi apa salahnya di majlis kami ini, ia diedarkan percuma supaya dapat menggembirakan tetamu yang datang.

“Kami sendiri bekerja dalam bidang kesihatan jadi ia membuatkan kami lebih berhati-hati dan bersemangat untuk menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berjaga-jaga terutama dengan Covid-19,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here