Tulis semula kontrak sosial

0
206
Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Kemelut politik semasa yang berlaku di Malaysia merupakan masa terbaik untuk melakukan perubahan dan memperbetulkan kesilapan lalu.

Menurut Pendekar Ekonomi Islam, Mohd. Fadzil Hashim, ini kerana kalangan Muslim di Malaysia berada di ambang kehancuran akibat pemisahan terancang yang menjadikan orang Islam semakin lemah.

Lebih memburukkan keadaan katanya, apabila bertambahnya jumlah bukan Islam yang mempamerkan sikap rasis dan menyakitkan hati orang Islam dalam pelbagai isu yang melibatkan mereka.

“Kalangan bukan Islam sentiasa bersandiwara seolah-olah merekalah mangsa. Secara berterusan mereka mendakwa yang mereka dilayan seperti warganegara kelas kedua, meskipun mereka menguasai 80 peratus kekayaan ekonomi negara.

“Pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi semakin kuat dan semakin lantang bersuara,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi politik semasa selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum dilantik semula sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong, kelmarin.

Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya
sebuah kerajaan berasaskan Melayu-Islam yang bukan mewakili parti, sebaliknya yang mewakili rakyat dibentuk.

Pada masa sama, katanya, satu perbincangan juga perlu diadakan bersama pemimpin bukan Islam dan mendapatkan persetujuan untuk menjiwai semangat Malaysia.

“Tulis kembali kontrak sosial dan pastikan mereka memahami kehendak serta panduan dan pantang larangnya. Menghormati Perlembagaan, program berstruktur pembangunan bumiputera dan hak-hak orang Islam.

“Barisan Kabinet hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan profesional dan bukan semata-mata kelayakan kepartian dan akademik,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa supaya perlantikan jawatan oleh Perdana Menteri berdasarkan ahli Parlimen terpilih dan bukannya berdasarkan parti manakah yang memenangi pilihanraya.

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri boleh melantik sesiapa sahaja yang beliau fikirkan layak tanpa berpandukan perwakilan parti.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here