TV Alhijrah memacu kebangkitan IKS

0
387

RAUDHAH CITY – Penubuhan Malakat Mall di sini selari dengan aspirasi TV Alhijrah dalam meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera menerusi pasaran runcit di pusat beli-belah itu yang menghimpunkan kesemua produk bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Namanzee Harris berkata, kerjasama dengan Malakat Mall Sdn. Bhd., menjadi penggalak serta pendorong kedua-dua pihak melangkah jauh dalam membantu ummah di Malaysia dan antarabangsa.

“Reputasi TV Alhijrah sebagai jenama dinamik dan prihatin dalam memacu kebangkitan industri kecil sederhana (IKS) tidak dapat dinafikan apabila sejak 2016 tidak pernah putus menawarkan ruang promosi dengan kos jauh lebih jimat berbanding harga pasaran semasa.

“Malakat Mall yang akan dibuka 1 Mac ini dilihat selari dengan aspirasi TV Alhijrah iaitu meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera dalam pasaran runcit menerusi pusat beli belah itu yang menghimpunkan kesemua produk bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara Malakat Mall dan Alhijrah Media di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Majlis MoU itu diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim manakala Namanzee mewakili Alhijrah Media Corporation.

Tambah Namanzee, menerusi MoU itu, kedua-kedua pihak mencapai persetujuan untuk berkongsi platform dan menggalakkan kerjasama dalam bidang tertentu.

Jelas beliau, kerjasama yang bakal dilaksanakan ialah pemasaran produk atau vendor Malakat Mall; pembangunan protokol internet kandungan baharu seperti drama, filem dan program pendidikan.

Tambah beliau, selain itu kerjasama tersebut turut meliputi pembangunan aplikasi kandungan Islamik serta media baharu seperti Aflix dan lain-lain.

“Kita juga turut bekerjasama menerusi perkongsian kepakaran syarikat seperti pemasaran, kempen Jom 1 Jam bersama TV Alhijrah dan lain-lain kerjasama dalam bidang kepakaran yang dianggap sesuai,” ujarnya.

Beliau yakin kerjasama strategik ini menjadi medan utama untuk kedua-dua organisasi bertukar tenaga kepakaran dan sumber ilmu yang dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada seluruh masyarakat. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here