Warga emas rakyat tempatan terbaharu dijangkiti coronavirus

0
105
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Seorang wanita rakyat tempatan berumur 65 tahun yang merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari lalu menjadi pesakit terbaharu dijangkiti coronavirus.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pesakit tersebut mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung serta pergerakan yang terhad.

“Beliau mempunyai kontak langsung dengan kes kesembilan semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama ahli keluarga yang lain pada 26, 27 dan 28 Januari lalu.

“Sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari lalu, beliau memaklumkan hanya berada di rumah. Pada 5 Februari 2020, beliau mengadu kurang sihat iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seterusnya wanita berkenaan telah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital swasta.

“Sejurus selepas itu, beliau dibenarkan pulang ke rumah dengan temujanji susulan pada Jumaat lalu.

“Sebaik sahaja menantunya, iaitu kes kesembilan dikesan positif 2019-nCoV, beliau telah dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel telah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain,” ujarnya.

Dr. Noor Hisham berkata, ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif semalam manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif.

Katanya, pesakit berkenaan kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil dan pada masa sama, aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here