
JOHOR BAHRU- Sebanyak 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, pagi ini.
Berangkat sama pada Majlis Istiadat Mengisytiharkan Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Menurut kenyataan dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor hari ini, majlis yang bermula pada pukul 9 pagi itu menyaksikan 10 Exco mengangkat sumpah.
Mereka ialah Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN-Rengit), Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang) dan R Vidyananthan (BN-Kahang).
Turut mengangkat sumpah, Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (Bersatu-Tenang); Tosrin Jarvanthi (Bersatu-Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (Bersatu-Larkin) dan Dr. Chong Fat Full (Bebas-Pemanis).
Jumaat lalu, Hasni, 61, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mempunyai 56 kerusi yang mana ketika ini ia diwakili UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu), Bebas (satu) sementara Amanah (9) dan PKR (empat).-MT