10% gaji MB, Exco Pahang untuk Tabung Covid-19

0
117

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bersetuju memotong 10 peratus gajinya selama tiga bulan bermula April ini untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 Pahang yang dilancarkan kerajaan negeri itu.

Seramai 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang turut bersetuju melakukan perkara sama.

Menurut laporan Berita Harian, Wan Rosdy berkata, keputusan pemotongan gaji itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang, hari ini.

“Keputusan ini diambil sebagai rasa bertanggungjawab dan tanda simpati ahli MMK terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Semoga dengan potongan serta sumbangan kepada Tabung Covid-19 Pahang akan mendorong lebih banyak pihak untuk tampil dan turut menyumbang kepada tabung ini,” katanya.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dalam kenyataan media berkata, seramai 10,000 penjawat awam Pahang bersedia memotong gaji untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 Pahang sebagai tanda prihatin.

Katanya, hasil sumbangan penjawat awam itu, dianggarkan berjumlah RM100,000 sebulan.

“Usaha itu adalah pengorbanan penjawat awam di Pahang dalam menunjukkan solidariti bersama rakyat negeri itu,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here