10 juta topeng muka akan diedarkan secara percuma

0
142

CYBERJAYA – Sebanyak 10 juta topeng muka yang diimport dari China akan diedarkan secara percuma kepada rakyat Malaysia yang memerlukan di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu merupakan sumbangan kerajaan ketika negara dilanda krisis Covid-19 sekarang.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan Nadma sebagai agensi yang bertangungjawab terhadap malapetaka supaya mengeluarkan peruntukan.

“Peruntukan itu sudah disediakan oleh kerajaan untuk membawa masuk topeng muka berkenaan, saya diberitahu harganya lebih RM1.18 sekeping.

“Jadi apa pun, kita akan bawa masuk dan bila mana akan sampai ke negara kita, kita akan agih-agihkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berbincang dengan pihak pengeluar supaya harga yang telah ditetapkan sebagai harga kawalan diteliti.

“Ia supaya tidaklah terlalu tinggi kerana situasi kini dianggap krisis dan kita harap pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti kilang-kilang dapat menentukan yang pertama bekalan yang dikendaki itu mencukupi dengan harga yang dianggap berpatutan.

“Itu adalah arahan yang telah saya kemukakan dan saya harap pihak kilang akan bersetuju dengan permohonan daripada pihak kementerian yang bertanggungjawab supaya harga yang ditetapkan itu adalah harga yang dianggap berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, dalam masa sama, kerajaan juga telah meminta kilang topeng muka di negara ini terus mengeluarkan produk masing-masing bagi menampung keperluan.

“Kita telah minta kilang-kilang yang ada di negara kita, kalau tak silap ada empat atau lima pengeluar di negara kita ini terus mengeluarkan topeng secara yang mencukupi

“Saya dimaklumkan mereka berdepan masalah iaitu mendapatkan bahan mentah untuk keluarkan topeng yang mana sebahagian besar diimport dari luar negara.

“Tapi kita harap usaha itu dapat diatasi dan kalau itu dapat dilaksanakan kapasiti pengeluaran topeng saya dimaklumkan lebih kurang tiga juta keping setiap bulan.

“Kalau itu dapat diusahakan, saya fikir bekalan dalam negara ini lebih daripada memadai lebih-lebih lagi sudah diputuskan oleh pihak kastam supaya pengeksportan tidak dibenarkan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here