13 nama ADUN calon Ketua Menteri Melaka

0
114
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) Melaka menyerahkan sepenuhnya kepada Yang Dipertua Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob untuk melantik Ketua Menteri Melaka yang baharu bagi menggantikan Adly Zahari.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihaknya telah menyerahkan nama kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu untuk dipertimbangkan.

“Saya ada mengadakan pertemuan empat mata bersama Yang Dipertua Melaka atas kapasiti Presiden UMNO dan Pengerusi BN untuk menyampaikan hasrat yang telah dibuat oleh UMNO serta BN negeri.

“Dalam pertemuan itu, saya telah mengemukakan nama semua ADUN Melaka bagi diangkat sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO itu dengan diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengadakan pertemuan bersama Mohd. Khalil pagi tadi di Kompleks Seri Negeri untuk membincangkan mengenai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Ia susulan berikutan Adly hilang sokongan majoriti daripada ADUN negeri itu apabila ADUN daripada Bersatu dan masing-masing seorang ADUN daripada PKR dan DAP selain 13 ADUN UMNO menyatakan sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya turut menghormati sebarang keputusan yang bakal diumumkan oleh Yang Dipertua Melaka dan berharap rakyat negeri itu bertenang.

Sementara itu, apabila ditanya bilakah nama Ketua Menteri baharu bakal diumumkan, Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu menunggu keputusan rasmi daripada Yang Dipertua negeri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here