160 rakyat Malaysia terkandas di Vietnam

0
4002

CYBERJAYA – Kira-kira 160 rakyat Malaysia kini terkandas di Vietnam selepas syarikat penerbangan tambang murah terkemuka negara membatalkan penerbangan pulang mereka tanpa sebarang notis makluman.

Daripada 160 rakyat Malaysia itu, 43 daripadanya merupakan peserta dua trip Kembara Sufi Travel & Tour ke Nha Trang – Dalat pada 16 hingga 20 Mac dan trip ke Ho Chi Minh- Nha Trang – Dalat pada 16 hingga 21 Mac.

Pengurus Kembara Sufi Travel & Tours Cawangan Perak, Nuramirul Badrul Hisham berkata, mengikut jadual asal, kesemua mereka akan menaiki penerbangan balik pada 20 Mac untuk trip pertama dan 21 Mac bagi trip kedua.

“Makluman terkini syarikat penerbangan itu pada 19 Mac mengatakan status penerbangan berjalan seperti biasa. Namun begitu, saya tidak yakin dengan status penerbangan itu dan membuat semakan melalui rakan.

“Maklumat yang diperoleh mendapati, tiada penerbangan dari Vietnam masuk ke Kuala Lumpur sehingga 31 Mac, saya cuba hubungi syarikat penerbangan itu untuk pengesahan namun, tidak mendapat sebarang respon.

“Pada pukul 9 malam, saya memandu selama tiga jam dari Teluk Intan, Perak sehingga ke KLIA2 untuk mendapatkan maklumat sahih kerana risau akan masalah yang akan dihadapi oleh peserta saya.

“Setibanya di kaunter, syarikat terbabit mengatakan tiada penerbangan sehingga 31 Mac ini. Saya amat geram dengan ‘permainan’ syarikat berkenaan yang seolah-olah sengaja memberi maklumat lewat dan tidak jujur,” katanya.

Menurut Nuramirul, syarikat itu memberi alasan ‘arahan kerajaan’, walhal arahan kerajaan hanya tidak membenarkan individu keluar daripada Malaysia, tiada pula arahan kerajaan mengatakan rakyat Malaysia tidak boleh masuk semula ke Malaysia.

“Jika betul ini adalah arahan kerajaan mengapa tidak maklumkan lebih awal bahawa penerbangan itu dibatalkan supaya kami boleh aturkan penerbangan lebih awal untuk membawa peserta pulang.

“Saya berpendapat pihak penerbangan tidak mahu menanggung kerugian kerana kapal terbang yang akan mengambil peserta saya di Vietnam perlu terbang daripada KLIA2 dalam keadaan kosong tanpa penumpang berikutan sekatan yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Syarikat penerbangan ini juga lepas tangan tidak menyediakan apa-apa bantuan daripada segi penginapan, makanan dan sebagainya. Sekarang 43 peserta Kembara Sufi dan rakyat Malaysia lain yang terkandas mengharapkan pertolongan saya,” katanya.

Untuk makluman katanya, beliau telah berhubung dengan Konsulat Malaysia di Vietnam dan memberikan maklumat peserta dan rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.

“Pihak Konsulat memberi nasihat untuk terbang balik menggunakan penerbangan MAS pada 24 atau 26 Mac daripada Saigon ke Kuala Lumpur atau menggunakan Royal Thai Airways pada 22 Mac transit di Bangkok.

“Lalu saya menghubungi pihak MAS untuk mendapatkan jaminan penerbangan tersebut tidak dibatalkan pada hari penerbangan. Namun, MAS tidak dapat memberi jaminan sama ada penerbangan itu akan terbang atau tidak.

“Melihat kondisi sekarang dalam keadaan ekonomi gawat dan syarikat-syarikat mempunyai masalah kewangan untuk terus beroperasi, saya yakin pihak MAS juga tidak mahu rugi untuk terbang dari KLIA ke lapangan terbang di Vietnam dalam keadaan kapal itu kosong dari Malaysia akibat sekatan kerajaan.

“Mereka yang terkandas gusar, jika mereka membeli tiket MAS, tiba-tiba pada saat-saat akhir pihak MAS mengatakan penerbangan dibatalkan seperti dilakukan oleh syarikat terdahulu, lalu memberi kerugian kepada peserta yang menempah tiket tersebut.

“Ini masalah yang pihak kami hadapi untuk membawa pulang peserta-peserta trip kami selain rakyat Malaysia lain kerana syarikat penerbangan tidak jujur dan kami tidak yakin dengan ‘permainan’ yang sedang dilakukan oleh pihak penerbangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Noramirul berkata, sangkaannya tepat apabila pihak Konsulat memaklumkan penerbangan Thai Airways pada 22 Mac dan MAS pada 24 Mac dibatalkan, ia sekali gus mengakibatkan ada rakyat Malaysia kerugian hampir RM5,000.

“Kami dengan rendah diri berharap ada penerbangan khas dari pihak kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Vietnam. Yang terkandas bukan hanya peserta Kembara Sufi tetapi ramai lagi rakyat Malaysia lain.

“Mereka disana mengharapkan maklumat daripada pihak Kembara Sufi. Kami doakan segalanya berjalan lancar untuk bersama-sama menangani masalah ini,” katanya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here