2 minggu tiada nasi lemak sambal sotong, nasi kerabu

0
180

Sudah memasuki tujuh hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 terus menular di negara ini.

Ini sahaja cara boleh dilakukan kerana wabak itu masih belum ada vaksin dalam memulihkan pesakit tatkala jumlah kematian meningkat di seluruh dunia.

Sejak perintah itu dikeluarkan terdapat sektor tertentu yang dibenarkan operasi terutama melibatkan bekalan keperluan asas.

Namun nasib peniaga kecil yang berniaga di tepi jalan, yang bergantung pada hasil jualan paling terkesan dengan PKP ini.

Mereka jugalah yang menyediakan sarapan untuk kita setiap pagi sebelum pergi kerja. Apabila PKP ini dilaksanakan, payung dan meja ditutup demi menyahut seruan kerajaan untuk sama membendung wabak durjana itu.

Selain golongan itu, peniaga pasar malam juga turut menerima tempiasnya. Mereka tiada sumber pendapatan lain kecuali berniaga sahaja. 

Tidak dinafikan tapak pasar malam boleh mendatangkan risiko jangkitan kerana ia menjadi tempat berkumpulnya orang ramai berbelanja.

Dua minggu kedua-dua golongan itu terputus pendapatan. Kita jangan memandang rendah pada mereka. 

Tanpa mereka berniaga, tiadalah nasi lemak sambal sotong, karipap ranggup untuk dibawa bekal ke pejabat; nasi kerabu dan satay yang menjadi kegemaran pengunjung pasar malam.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan segala bentuk bantuan bagi golongan itu, sewajarnya perlu dikaji dengan lebih mendalam. 

Kesan wabak Covid-19 ini bukan sebulan dua, tetapi memakan masa panjang kerana vaksin yang dihasilkan juga antara enam bulan hingga setahun.

Begitu juga usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Mereka lebih terkesan kerana terpaksa menghentikan operasi demi memastikan pekerjanya selamat dan mematuhi arahan kerajaan.

Boleh dikatakan tempoh dua minggu ini cukup getir. Getir kerana memikirkan bagaimana mahu menjelaskan pelbagai hutang kepada bank.

Institusi perbankan hanya mengeluarkan monotorium kepada peminjam perumahan, kereta, pinjaman peribadi dan lain-lain. Tapi  bagaimana pula dengan peniaga kecil dan usahawan IKS ini. 

Mereka tiada tempat lagi nak mengadu, hanya kerajaan sahaja yang boleh dengar suara golongan ini. 

Golongan usahawan IKS ini antara penyumbang kepada ekonomi negara. Bukan kecil jumlahnya. Jika golongan ini terjejas maka akan memberi kesan kepada sektor lain. 

Harapan golongan ini supaya ada sesuatu keajaiban oleh pimpinan negara. Jika benar ada pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan 30 Mac ini, jangan lupa golongan-golongan yang disebutkan tadi.

Kita mampu mendengar keluhan mereka. Hanya kerajaan dan bank sahaja yang boleh melakukannya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here