3 bayaran insentif warga veteran ATM dipercepat

0
175

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

CYBERJAYA – Pembayaran tiga insentif melibatkan anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diawalkan bagi meringankan bebanan golongan itu ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga insentif itu ialah pembayaran dana kutipan jalanan Kempen Tabung Pahlawan 2019, elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Skim Kebajikan Bantuan Sara Hidup.

“Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di bawah Kementerian Pertahanan akan menyalurkan dana kutipan jalanan kepada 74 persatuan veteran ATM termasuk ‘matching grant’ (geran sepadan) yang akan dibayar pada kadar segera selewet-lewatnya akhir Mac ini.

“Ia juga termasuk 14 persatuan yang menerima insentif sebanyak RM15,000 hasil daripada kutipan melebihi RM30,000.

“Pembayaran semula dana kutipan jalanan dan ‘matching grant’ serta insentif bagi persatuan-persatuan vateran ATM yang layak ini melibatkan pengagihan dana Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM5.3 juta iaitu kutipan sebanyak RM2.5 juta dan juga ‘matching grant’ daripada JHEV iaitu RM2.5 juta lebih,” katanya dalam sidang akbar hari ini.

Jelasnya, bagi insentif elaun Kenangan PJM, pembayaran sebanyak RM500 secara ‘one off’ (sekali bayar) akan dibuat pada minggu akhir Mac ini.

“Pembayaran ini akan disalurkan kepada 40,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta.

“30,000 penerima telah menerima bayaran ini pada 12 Mac lalu iaitu melibatkan peruntukan sebanyak RM15 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan adalah RM35 juta yang kita bayar kepada 70,000 penerima,” katanya.

Menurutnya, pembayaran skim Kebajikan Bantuan Sara Hidup pula akan mula dibuat mulai 1 April ini.

“Kita juga bersetuju mempercepatkan pembayaran Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 seorang mulai 1 April ini secara bulanan kepada 4,800 penerima yang layak dan memenuhi syarat seperti OKU, miskin, warga emas dan juga anak-anak yatim di bawah umur 18 tahun.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh salurkan melalui JHEV di talian 03-26976600 atau melayari portal www.jhev.gov.my,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here