3,200 penghuni Menara One City dikenakan PKPD

0
470


CYBERJAYA – Selepas Simpang Renggam dan Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kini Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur dikenakan perintah tersebut bermula tengah malam ini sehingga 13 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil  berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19.

Menurut beliau, PKPD dilakukan melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara itu.

“Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan ketiga PKPD.

“Tujuan perintah itu dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan. 

Beliau berkata, bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan. 

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut. 

“Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.  Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD,” jelasnya.  

Beliau memberitahu, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan itu.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” ujarnya. 

Beliau berkata, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-2694 3243/ 03-4026 7222 atau 013-329 5141. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here