393 kertas siasatan dibuka kes penipuan dalam talian

0
105
Menteri Kanan (keselamatan), Ismail Sabri.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kerajaan berjaya mengesan beberapa cubaan menipu rakyat, terutamanya berhubung pengeluaran akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembelian beberapa barang atas talian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu susulan pengumuman beberapa insentif oleh kerajaan sebelum ini termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumum semalam.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 393 kertas siasatan, termasuk kes berhubung penipuan penjualan dalam talian.

“Oleh kerana banyak insentif (dalam pengumuman PRIHATIN), ramai cuba mengambil kesempatan untuk menipu rakyat kita dan sebagainya. Kes scammer begitu banyak sekali.

“Sebagai contoh, sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan sehingga 25 Mac, PDRM sudah membuka 393 kertas siastan penjualan palsu dalam talian.

“Apabila kerajaan umum boleh dilakukan pengeluaran untuk KWSP, ‘scammers’ ambil kesempatan untuk membuat penipuan dengan mengeluarkan tawaran melalui media sosial dan sebagainya, meminta mereka yang ingin keluarkan wang mereka dengan memberi nombor kad pengenalan, malah nombor akaun bank,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Ismail turut menasihatkan rakyat lebih berhati-hati dan tidak terjebak atau terpedaya dengan kegiatan penipuan seperti itu.

“Di samping mengikut prosedur betul seperti mendapatkan maklumat yang tepat dari KWSP atau merujuk sumber sahih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here