649 individu ditahan di seluruh negara ingkar PKP

0
95
Orang ramai yang masih keluar dari rumah dengan pelbagai alasan sehingga menyukarkan kawalan pihak berkuasa sepanjang PKP.

CYBERJAYA – Sebanyak 649 individu yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara semalam.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak kira-kira dua kali ganda daripada hari sebelumnya iaitu 320 kes tangkapan dengan 73 kes dituduh di mahkamah dan telah mengaku bersalah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dilaksanakan selepas mendapati masih ramai yang ingkar pada arahan PKP.

“Mereka memberikan pelbagai alasan. Ada yang menggunakan alasan keluar membeli makanan sehingga empat hingga lima kali sehari.

“Masih ramai juga yang berada di kedai kopi dan bergerak secara berkumpulan. Apabila diminta bersurai ada yang ingkar sehingga merempuh sekatan polis,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ismail berkata, penguatkuasaan undang-undang turut diperketatkan lagi dengan 997 sekatan laluan utama dan lebih banyak kenderaan diperiksa semalam.

“Pemeriksaan kenderaan bertambah sekali ganda daripada 200,000 buah kenderaan kelmarin kepada 301, 938 kenderaan semalam.

“Selain penguatkuasaan di jalan raya, pihak berkuasa juga melakukan pemeriksaan ke atas premis yang sebahagiannya masih beroperasi. Semalam sebanyak 3,223 premis diperiksa dengan sebahagiannya diarahkan tutup,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here