73 petugas barisan hadapan KKM positif Covid-19

0
209

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – “Sejumlah 73 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) didapati positif Covid-19,” demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr. Noor Hisham, punca jangkitan kesemua kes melibatkan anggota kesihatan itu bukan disebabkan pengendalian kes Covid-19 di fasiliti KKM.

“Berdasarkan siasatan, punca jangkitan 47 kes iaitu 64.4 peratus adalah berkaitan daripada majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Lain-lain punca jangkitan pula adalah seperti sejarah melawat ke luar negara, dan kontak keluarga yang positif Covid-19,” katanya.

Dr. Noor Hisham berkatam pihaknya maklum anggota barisan hadapan sangat komited dalam memberikan bantuan perubatan dan kesihatan yang terbaik kepada semua rakyat Malaysia dalam menghadapi wabak itu.

“Dalam usaha menjaga kesihatan barisan hadapan KKM, Seramai 1,895 anggota yang menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti KKM telah jalani ujian kesihatan Covid-19.

“1,187 orang didapati negatif manakala 708 masih menunggu keputusan. Setakat ini tiada yang positif Covid-19,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua anggota kesihatan dan barisan hadapan mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan terutama dalam memastikan tangan sentiasa bersih, amalan jarak sosial dan pemakaian alat peindung diri (PPE) mengikut keperluan.

“Adalah dipohon semua anggota kesihatan dan barisan hadapan untuk maklumkan ketua jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh dan majlis perkahwinan pada 6 Mac di Bangi atau majlis sama pada 7 Mac di Putrajaya yang dihadiri oleh anggota kesihatan,” katanya .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here