79 individu dari Iran dikuarantin di Bandar Enstek

0
154

NILAI 22 Mac – Seramai 79 individu terdiri daripada warga Malaysia dan bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Tehran, Iran, awal pagi ini kini ditempatkan di Pusat Pemantauan di Bandar Enstek di sini untuk proses kuarantin selama 14 hari.

Memetik laporan Bernama, jumlah berkenaan meliputi 46 rakyat Malaysia serta lapan rakyat Singapura dan seorang (Indonesia) serta 24 petugas Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) berkenaan.

Bas pertama yang membawa mereka tiba di pusat berkenaan pada 9.43 pagi dengan diiringi kenderaan dan motosikal polis.

Selang 15 minit kemudian, sebuah bas lagi tiba di pusat berkenaan yang dikawal ketat anggota polis.

Dua bas terakhir yang membawa kesemua baki individu dari Unit Kecemasan Udara (ADU) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiba kira-kira 20 minit kemudian di pusat berkenaan.

Sebelum dihantar ke Pusat Pemantauan itu, mereka melalui proses tapisan kesihatan di ADU, sama seperti dua misi HADR dari Wuhan, China pada Februari lepas.

Semalam, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata. pesawat AirAsia telah berlepas ke Tehran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Iran hasil perbincangan peringkat tertinggi antara kerajaan-kerajaan negara terlibat dalam semangat kerjasama ASEAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here