8 wanita dilantik menteri, timbalan menteri

0
318

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

PUTRAJAYA – Lapan wanita dilantik sebagai menteri penuh dan timbalan menteri dalam barisan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Antara yang menghiasi barisan Kabinet kali ini ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Zuraida Kamaruddin mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika bersama Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Turut dilantik ialah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang kini diberi tanggungjawab mengemudi Kementerian Wanita dan Keluarga dengan dibantu Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff.

Selain itu, Perdana Menteri juga melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika era Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang baharu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique turut tersenarai sebagai menteri penuh.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan era BN itu ditugaskan menjaga Kementerian Perpaduan Negara yang diwujudkan semula.

Sementara itu, dua lagi wanita yang membarisi barisan Kabinet kali ini ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid dilantik sebagai
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas). -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here