87 penghuni madrasah disyaki dijangkiti Covid-19

0
64

Dr. Alias Razak

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengesahkan 87 penghuni madrasah di Kubang Bujuk di sini dikuarantin selepas disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, kesemua pesakit kini berada di bawah pengawasan (PUI) bermula Sabtu lalu di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Menurutnya, mereka yang terlibat merupakan kontak rapat dengan seorang ahli tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Selangor baru-baru ini yang singgah di madrasah berkenaan.

“Setakat ini belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 dan kita masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

“Bagaimanapun, langkah yang sepatutnya telah diambil seperti menjejaki kontak yang mempunyai kaitan juga sedang dibuat.

“Sebagai langkah tambahan, kita juga akan menyediakan keperluan kepada penghuni madrasah itu seperti makanan sepanjang tempoh kuarantin,” katanya pada sidang akhbar khas berkaitan Covid-19 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sinar Harian melaporkan, Alias berkata, kerajaan telah menyediakan empat pusat kuarantin di Terengganu bagi menempatkan mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Jelasnya, empat pusat kuarantin itu ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang menyediakan 58 katil, Hospital Hulu Terengganu (156 katil) dan dua pusat di Kuala Nerus iaitu Scout Inn Resort (77 katil) dan Pusat Latihan Felda sebanyak 44 katil.

Setakat ini katanya, pusat kuarantin di Hospital Hulu Terengganu telah diaktifkan dengan menempatkan 87 orang penghuni dari sebuah madrasah di Kubang Bujuk.

“Jika ada pertambahan kes dan katil yang disediakan tidak mencukupi, kita mencadangkan beberapa lokasi lain untuk dijadikan pusat kuarantin.

“Pada masa yang sama, saya ingin tegaskan keadaan masih terkawal dan rakyat tidak perlu panik. Kita akan memberikan maklumat secara berkala dan arahan sepatutnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Sinar Harian semalam menyiarkan tentang sebuah madrasah di Kubang Bujuk yang dikuarantin selama 14 hari bagi mengekang penyebaran virus Covid-19.

Madrasah itu dihuni lebih 300 orang, termasuk pelajar, tenaga pengajar dan staf sokongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here