Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
RAUDHAH CITY – Mana-mana berita negatif mengenai Malakat Mall yang tular dalam media sosial tidak perlu diambil perhatian.
Perkara itu dikongsi beberapa pengunjung yang ditemui selepas membeli-belah di Raudhah Grocer hari ini.
Seorang pengunjung Malakat Mall, Nur Zahirah Apandi, 36, berkata, dia berbangga dengan kewujudan sebuah pasar raya milik Muslim di kawasan yang pesat iaitu Cyberjaya di sini.
NUR ZAHIRAH APANDI
Menurutnya, selepas mengetahui hebahan pembukaan dalam Facebook, dia teruja datang ke Malakat Mall untuk membeli belah.
“Walaupun terdapat masalah teknikal seperti ada produk masih tidak mempunyai tanda harga, pengurusan Malakat Mall seharusnya tidak mematahkan semangat untuk terus memperjuangkan produk Muslim.
“Abaikan sahaja sekiranya perkara-perkara seperti itu ditularkan,” katanya.
Seorang pengunjung Nurul Nadiah Ishak, 29,meminta orang ramai tidak melayani berita-berita yang ingin menjatuhkan perjuangan ekonomi Muslim.
NURUL NADIAH ISHAK
Jelasnya, sebagai pengguna sudah semestinya mengharapkan pasar raya itu dapat bertahan untuk bersaing dengan kuasa asing.
“Kita kekalkan dengan perjuangan yang ada dan jangan putus asa.
“Ramai lagi penyokong yang memberi sokongan terhadap produk Muslim ini,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah Nurul Ain Roslan, 34, pula berkata, dia mengakui pasar raya Muslim membantunya membeli produk tanpa berfikir panjang.
NURUL AIN ROSLAN
Katanya, produk-produk yang dijual halal dan memudahkan pengunjung untuk memilih barangan yang diingini.
“Daripada segi harga juga masih berpatutan dan menggalakkan lagi pengunjung singgah mendapatkan produk harian di sini.
“Jadi, jika ada berita-berita negatif abaikan sahaja dan teruskan mempromosikan produk Muslim,” katanya. -MBNews