Abang Syed Saddiq buat kejutan

0
166
Syed Abdullah Syed Abdul Rahman menyerakan borang keahlian UMNO kepada Datuk Shahrul Nasrun

CYBERJAYA – Abang kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kejutan apabila memilih menyertai UMNO sebagai wadah perjuangannya.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun yang memuat naik gambar Syed Abdullah Syed Abdul Rahman menyerahkan borang keahliannya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Menurut Shahrul, Syed Abdullah menyerahkan borang permohonan sebagai ahli UMNO kepadanya dengan disaksikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Zulkifli Rajalie.

“Penyertaan Syed Abdullah ke dalam UMNO hari ini menunjukkan bahawa UMNO masih relevan dalam kalangan anak muda,” katanya.

Syed Abdullah yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Embry Riddle Daytona Beach, Florida, Amerika Syarikat pernah mencipta kontroversi sebelum ini apabila dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang artis wanita popular.

Dalam pada itu, Shahrul berkata, Pemuda UMNO menggalakkan agar lebih ramai golongan profesional muda menyertai parti itu dan bersama-sama berkongsi idea-idea baru serta tawaran baru untuk generasi akan datang.

“Mungkin ada segelintir pihak sinis kemasukan saudara Syed Abdullah ke dalam UMNO ekoran isu kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.

“Pada saya setiap daripada kita pernah melalui zaman ‘nakal’ dan pastinya pernah melakukan kesilapan,” katanya.

Sementara itu, dalam status sama Syed Abdullah menjelaskan mengapa beliau memilih dan menyertai UMNO.

Jelasnya, beliau percaya bahawa generasi muda masa kini perlu menghayati gesaan pemimpin UMNO iaitu Tun Hussein Onn supaya rakyat bersatu sehingga beliau digelar sebagai Bapa Perpaduan negara.

“Saya berada di luar negara bertahun-tahun dan kini tiba masa untuk pulang. Saya telah menyaksikan sendiri perubahan dalam negara sehingga menyebabkan saya berpihak kepada sebuah parti politik yang saya percayai dan saya akan terus memberi kepercayaan sama kepada parti nenek moyang saya pilih iaitu UMNO.

“UMNO tidak sempurna dan ada yang kata parti ini sudah hilang hala tuju, walaubagaimanapun saya bersyukur di kelilingi dengan generasi muda yang yakin UMNO mampu kembali menjadi lebih kuat dan memupuk perpaduan dalam generasi muda. Sebab itulah saya menyertai UMNO,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here